suria

Produk Natural Beauty Fruit Dan Vegetable Powder Dari Taiwan Dicemari DEHP

KUANTAN: Kementerian Kesihatan pada Ahad mengesahkan produk makanan Natural Beauty Fruit dan Vegetable Powder yang diimport dari Taiwan dicemari bahan kimia berbahaya Di (2-ethylhexyl) Phthalate (DEHP).

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ini berdasarkan analisis yang dijalankan kementerian ke atas dua produk makanan itu.

"Bagaimanapun satu lagi produk iaitu Natural Beauty Drink Powder tidak dicemari DEHP dan sehubungan itu saya menasihatkan produk Natural Beauty Fruit dan Vegetable Powder dihentikan penjualannya serta-merta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat MCA Bahagian Kuantan di sini Ahad.

Beliau turut menasihati pengguna yang telah membeli produk makanan tersebut supaya tidak memakannya kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesan sampingan.

Akhbar semalam melaporkan beberapa produk dari Taiwan dipercayai tercemar dengan bahan kimia DEHP termasuk produk keluaran Chuang's King Tai Chang Food Co. Lt. Taiwan yang diimport oleh Nguan Seng Sdn Bhd dan Natural Beauty Drink Powder dan Natural Beauty Fruit and Vegetable Powder keluaran Prince Pharmaceutical Co. Lt. yang diimport oleh Billion Synergy Sdn Bhd.

Liow berkata hasil analisis yang dijalankan terhadap produk Chuang's Square Cookies berperisa gula perang, gandum, badam dan bijan keluaran Chuang's King Tai Chang Food mendapati ia tidak dicemari DEHP.

"Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kementerian akan terus memantau makanan yang diimport dari negara tersebut," katanya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai produk makanan Taiwan boleh didapati di laman web http://moh.gov.my atau http:/fsq.moh.gov.my.- BERNAMA

Artikel Lain