suria

Perhimpunan Bersih Terus Dapat Bantahan

KUALA LUMPUR: Cadangan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengadakan perhimpunan haram pada 9 Julai depan terus menerima bantahan daripada pelbagai pihak.

Persatuan Bekas-bekas Polis Malaysia (PBPM) menyuarakan bantahan itu dalam Mesyuarat Agung Khas cawangan-cawangan Taman Koperasi Polis, Sentul, Dang Wangi, Cheras dan Brickfields di sini pagi Ahad.

Pemangku PBPM Datuk Yusuf Hamdain Diego berkata perhimpunan ini hanya akan menyusahkan orang ramai dan menjejaskan pendapatan peniaga kecil dan pemandu teksi yang antara mereka merupakan anggota persatuan itu.

"Persatuan menggesa warga kota supaya tidak melibatkan diri atau menyokong perhimpunan ini kerana ia lebih untuk kepentingan individu tertentu dan bukannya atas dasar memelihara demokrasi seperti didakwa," katanya.

Perhimpunan jalanan haram kali kedua itu dirancang diadakan pada 9 Julai ini di ibu negara dan juga di Sabah dan Sarawak kononnya bagi menuntut pilihan raya lebih bersih dan adil termasuk pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media bebas dan adil.

Sementara itu, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) yang turut membantah perhimpunan itu memuji ketegasan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk tidak membenarkan mana-mana pihak termasuk Pemuda Umno daripada terlibat dalam perhimpunan itu.

Presidennya Amir Amsaa Alla Pitchay memberitahu Bernama ketegasan Hishammuddin itu kena pada tempatnya sungguhpun beliau merupakan bekas Ketua Pemuda Umno.

Pemuda Umno dikatakan akan mengadakan perhimpunan dan berarak pada tarikh yang sama dengan perhimpunan BERSIH bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyokong sistem demokrasi serta peranan dan pembaharuan yang dilaksanakan SPR.

Amir berkata pertembungan kedua-dua pihak nanti akan menimbulkan situasi yang kucar-kacir dan akan menjejaskan perpaduan kaum di negara ini.

"Kalau nak lakukan sesuatu, kita juga perlu fikirkan kepentingan rakyat. Dengan adanya perhimpunan itu nanti, ia akan mengundang kesesakan lalu lintas dan menjejaskan rutin harian serta pendapatan rakyat seperti peniaga kecil dan pemandu teksi," katanya.

Justeru beliau berharap kerajaan akan menghalang perhimpunan itu dengan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menganjurkannya.

Sementara itu, di IPOH, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata tujuan pembangkang mengadakan demonstrasi jalanan haram itu adalah untuk mencetus suasana huru-hara.

Beliau percaya ada perkara yang tersembunyi mengenai apa yang ingin dicapai pembangkang di sebalik rancangan mengadakan perhimpunan haram itu.

"Jika benar seperti yang mereka dakwa pilihan raya umum di negara ini 'tidak bersih' bagaimana (di) empat negeri kita (Barisan Nasional) kalah. Apakah jika mereka menang semua, barulah pilihan raya itu dikatakan bersih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program "City Survival Skill".

Katanya dakwaan penganjur bahawa perhimpunan itu tidak ada kaitan dengan politik adalah satu penipuan kerana semua rakyat tahu akan penglibatan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam perkara itu.

Beliau menasihatkan penduduk Perak yang bercadang untuk menyertai perhimpunan itu supaya berfikir dan menimbang perkara itu dengan matang dan risiko yang bakal mereka hadapi kerana perhimpunan itu diadakan tanpa permit.- BERNAMA

Artikel Lain