suria

Pembangkang Berselindung Di Sebalik Perhimpunan Haram:Muhyiddin

BEAUFORT: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan perhimpuan haram yang dirancang oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini sebagai satu cubaan pihak pembangkang untuk menjadikannya sebagai jalan pintas ke Putrajaya.

Katanya pembangkang sebenarnya berselindung di sebalik badan bukan kerajaan itu yang mempertikaikan sistem pilihan raya umum di negara ini bagi merealisasikan niat mereka untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah pun memberi penjelasan berkali-kali bahawa pilihan raya dijalankan secara teratur mengikut peraturan sedia ada.

"Kalaulah mereka membangkitkan isu yang berkaitan pilihan raya kenapa sekarang mempertikaikan soal itu. Kenapa tidak mempertikainya pada pilihan raya lepas," katanya kepada pemberits selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Beaufort di sini Sabtu.

"Saya fikir tujuan mereka tidak baik. Ambiga (Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan) itu kepala saja. Saya tahu di belakangnya ialah pihak-pihak pembangkang apabila Mohamed Sabu diletakkan sebagai timbalan pengerusinya," katanya.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai rancangan badan bukan kerajaan itu mengadakan mengadakan demonstrasi jalanan yang haram itu.

Katanya tujuan Bersih mengadakan perhimpunan itu bukan setakat mempersoalkan isu SPR atau perjalanan pilihan raya, tetapi kemungkinan juga sebagai platform untuk membangkit isu yang mungkin menjadi perhatian rakyat dan seterusnya membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.

"Mereka mungkin akan meneruskan momentum ini supaya apabila sampai pilihan raya nanti, kebencian rakyat akan mencapai ke tahap yang tinggi dan menolak kerajaan," katanya. Beliau berkata demonstrasi jalanan bukan penyelesaian terbaik berkaitan dengan sistem pilihan raya negara, sebaliknya mereka boleh menggunakan demokrasi berparlimen untuk membetulkan keadaan.

Muhyiddin berkata pihak polis tidak meluluskan permit perhimpunan kerana tidak mahu kejayaan, kemajuan dan kemakmuran yang dicapai oleh negara selama ini akan terjejas hanya kerana kelompok kecil ini.

Justeru itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan taktik pembangkang yang mengamalkan 'doube standard' yang mengunakan isu pilihan raya sebagai jalan pintas ke Putrajaya.

"Bila BN menang mereka pertikaikan. Bila mereka (pembangkang ) menang, mereka tidak pertikaikan," katanya.

Mengenai ura-ura Pemuda UMNO yang mahu mengadakan perhimpuan pada hari yang sama, Muhyiddin berkata ini adalah reaksi yang jelas bahawa banyak pihak tidak bersetuju dengan perhimpunan Bersih itu. - BERNAMA

Artikel Lain