suria

MCA Yakin Ahli Parti Tidak Akan Sertai Perhimpunan Bersih

KUANTAN: MCA percaya ahli-ahli parti itu tidak akan menyertai perhimpunan Bersih 2 yang dirancang 9 Julai depan, kata Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Liow berkata beliau telah mengarahkan ahli-ahli parti supaya tidak menyertai perhimpunan itu kerana ia tidak memberi sebarang manfaat malah ia berbaur politik kotor pembangkang semata-mata.

Penganjur perhimpunan itu berkata, pembangkang menuntut pilihan raya lebih bersih dan adil termasuk pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media bebas dan adil semasa pilihan raya.

"Kita perlu terangkan bahawa adanya motif politik di sebalik perhimpunan Bersih ini... mereka cuba gunakan perhimpunan ini untuk menaikkan emosi rakyat supaya membenci kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat MCA Bahagian Kuantan di sini Ahad.

Liow berkata sekiranya ada ahli MCA didapati terlibat menyertai perhimpunan tersebut, tindakan di peringkat parti akan diambil.

"Kita boleh ambil tindakan mengikut peraturan dalam parti," katanya.

Beliau berkata, nasihat yang sama turut diberikan kepada rakyat di seluruh negara supaya tidak melibatkan diri dalam perhimpunan itu.- BERNAMA

Artikel Lain