suria

Kofama Promosi Jualan Ikan Laut Terus Dari Jeti Tangani Isu Kenaikan Harga

SHAH ALAM: Koperasi Kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Kofama) telah mengadakan program promosi jualan ikan segar terus dari jeti dengan harga murah bagi membendung isu kenaikan harga akhir-akhir ini.

Kenaikan harga itu berlaku berikutan tindakan segelintir peniaga yang menjadikan isu penarikan subsidi diesel dan mogok oleh pengusaha-pengusaha nelayan ikan laut untuk menaikkan harga ikan sekali ganda lebih tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah Fama Rohizad Ridzwan berkata program yang bermula semalam itu tidak menggunakan orang tengah dan dengan itu ikan dapat dijual pada harga yang lebih murah.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau program promosi itu di Pasar Tani Mega Stadium Melawati di sini Ahad, beliau berkata nelayan yang menjual sendiri hasil tangkapan mereka di pasar tani ini dibawa dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah.

"Kebiasaannya masalah dihadapi nelayan ialah mereka kekurangan modal, sebab itu mereka menjual kepada peniaga yang datang ke tempat mereka. Seperti nelayan di Kuala Perlis, agak sukar nak cari lori jadi Koperasi bantu dia menanggung kos-kos edaran.

"Jadi nelayan yang ditaja Kofama ini dapat menjual ikan dengan harga murah sebanyak 20 ke 30 peratus. Contohnya harga ikan kembong di pasaran sekarang ialah RM13 sekilogram tetapi di sini ia dijual RM10 sekilogram," katanya.

Beliau berkata promosi itu diadakan di pasar-pasar tani terpilih seperti di Pasar Tani Melawati, Kuala Lumpur (semalam) Pasar Tani Stadium Melawati (hari ini), Pasar Tani Kota Kemuning di sini pada Rabu ini, Pasar Tani Seksyen 17, Petaling Jaya pada Khamis ini dan Pasar Tani Putrajaya pada Jumaat depan.

Dalam pada itu, Rohizad berkata Kofama juga sedang mengatur program promosi yang sama membabitkan petani serta pengusaha ayam dan koperasi itu mengalu-alukan sebarang penyertaan daripada pihak yang berminat.

"Kepada pengusaha yang ingin menjual hasil mereka terus kepada pelanggan datanglah ke pasar tani dan kita akan aturkan program untuk mereka. Dalam masa sama mereka akan menjadi contoh kepada peniaga pasar tani lain di mana mereka akan turunkan harga secara sihat dan ini merupakan persaingan secara sihat," katanya.

Sementara itu, beberapa pembeli yang ditemui di Pasar Tani Mega Stadium Melawati di Seksyen 13 di sini berpendapat usaha yang dilakukan Kofama itu sangat bersesuaian dan menawarkan harga menarik.

Syed Abdul Hamid Syed Ahmad, 64, pengunjung tetap pasar tani berkenaan berkata langkah itu merupakan satu pendekatan yang baik kerana harga yang ditawarkan lebih murah serta mendapat bekalan segar.

"Saya rasa usaha ini perlu diteruskan supaya tidak lagi berlaku perantara yang kadang kala menyebabkan bekalan kurang serta harga yang tinggi. Bila kita beli terus dari nelayan lebih murah dan memuaskan," katanya.

Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) Norhanani Mat Nasir, 31, berkata harga yang ditawarkan berbaloi dan murah serta berharap promosi yang sama diadakan pada setiap minggu memandangkan pasar tani menjadi tumpuan orang ramai.

Eksekutif sebuah bank, Sandha Ghazali, 35, pula berharap program itu diperluaskan kepada barangan lain termasuk sayur-sayuran, buah-buahan dan ayam serta daging.

"Saya puas hati sebab bekalan dijamin segar, jadi lebih elok kalau barangan lain pun dibuat seperti promosi ini jual terus dari pengusaha kepada pengguna tanpa orang tengah," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain