suria

PAS Saran Tubuh Lembaga Pengawasan Syariah Kawal Media Hina Islam

Karikatur Utusan Malaysia yang didakwa menghina Islam.
Karikatur Utusan Malaysia yang didakwa menghina Islam.
Karikatur Utusan Malaysia yang didakwa menghina Islam.

PETALING JAYA: PAS menyarankan penubuhan panel khas pengawasan syariah yang berfungsi mengawal penyiaran dan memandu media supaya tidak menyiarkan unsur-unsur yang bercanggah dengan Islam.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cadangan tersebut wajar dilaksanakan bagi memastikan perbuatan menghina Islam tidak berulang seperti yang berlaku dalam insiden penyiaran karikatur ‘Kekeliruan Kes Rogol’ yang disiarkan dalam Utusan Malaysia, Rabu lalu.

“Lembaga pengawasan syariah ini bukan sahaja mengawal agar penyiaran tidak bercanggah dengan syarak, tetapi turut memandu media perdana agar setiap bahan penerbitan yang boleh merosakkan minda atau akhlak remaja dapat dikawal dan memastikan mereka untuk menyiarkan bahan penyiaran yang lebih bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Sabtu.

Rabu lalu, akhbar Utusan Malaysia menyiarkan karikatur bertajuk ‘Kekeliruan Kes Rogol’ karya Miki yang membuat perbandingan dua situasi mengenai kaedah pelaksanaan hukuman jenayah rogol dan zina.

Lakaran pertama mengambarkan seorang gadis yang mendakwa dirinya dirogol dan mendakwa mempunyai bukti dalam bentuk rakaman video telefon tetapi ditolak oleh 'tok penghulu' yang berserban dan berjubah kerana tidak mempunyai empat saksi.

Lakaran kedua itu pula memaparkan lukisan gadis yang sama membawa aduan berkenaan kepada seorang anggota polis yang menerima aduan berkenaan.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata penghasilan karikatur tersebut tidak membantu perpaduan kaum sebaliknya ia mengelirukan akidah umat Islam.

“Dengan adanya lembaga pengawasan syariah ini, diharap dapat membina media lebih bertanggungjawab kerana kesan penyebaran media perdana mempunyai kesan langsung kepada rakyat,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan pelukis karikatur serta pihak pengurusan Utusan Malaysia yang menyiarkan karikatur berkenaan supaya meminta maaf.

“Kesilapan mereka boleh dianggap sebagai satu penghinaan besar kepada hukum syarak dan juga telah mengelirukan orang ramai mengenai ajaran Islam yang sebenar dalam isu rogol,” katanya.

Pada Jumaat, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi dan beberapa Exconya menghantar memorandum bantahan terhadap penyiaran karikatur yang didakwa menghina Islam di ibu pejabat Utusan Malaysia.

Dalam memorandum tersebut, Pemuda PAS memberi tempoh tujuh hari bermula daripada tarikh karikatur berkenaan disiarkan menuntut supaya pihak pengurusan Utusan Malaysia memohon maaf berhubung penyiaran karikatur berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain