suria

Hospital Swasta Perlu Anjur Lebih Banyak Kempen Derma Darah - Rosnah

KUALA LUMPUR: Hospital swasta di negara perlu menganjurkan lebih banyak kempen derma darah bagi menampung keperluan yang meningkat saban tahun, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata buat masa ini kempen berkenaan lebih banyak dilaksana hospital kerajaan selain Pusat Darah Negara.

Setiap tahun, Pusat Darah Negara mengagihkan kira-kira 35 peratus bekalannya kepada hospital dan klinik swasta di Lembah Klang, katanya berucap merasmikan Karnival Sambutan Penderma Darah Sedunia, di sini, Sabtu.

Rosnah berkata secara keseluruhan kesedaran menderma darah pada kalangan masyarakat meningkat dan tahun lepas Pusat Darah Negara merekodkan kutipan 590,517 unit darah dari seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 24 peratus adalah dari Wilayah Persekutuan, katanya.

"Selain menderma darah secara sukarela, para penderma juga datang ke Pusat Darah Negara setiap dua minggu untuk menderma plasma dan platelet mereka," katanya.

Rosnah juga berkata sepanjang tahun lepas, sejumlah 1,346,107 unit komponen darah disediakan, dan daripada jumlah itu sebanyak 771,191 unit darah digunakan bagi rawatan pesakit.

"Sebahagian daripada plasma yang didermakan dihantar ke Australia untuk proses fraksinasi bagi menghasilkan produk-produk darah seperti Faktor VIII, Faktor IX, Immnunoglobulin dan Albumin bagi merawat pelbagai penyakit sperti hemofilia dan sebagainya," katanya.

Beliau juga turut meminta Pusat Darah Negara agar sentiasa peka dan proaktif sepanjang penganjuran kempen derma darah bagi memastikan bekalan yang selamat dan berkualiti serta mencukupi untuk keperluan semua hospital. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain