suria

Lelaki Didakwa Tunggang Kuda Hingga Cederakan Kanak-Kanak

GEORGE TOWN: Seorang penunggang kuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas tuduhan menunggang kuda secara cuai sehingga mencederakan seorang kanak-kanak berusia 5 tahun pada 7 Jun lepas.

Mohd Khairi Mohd Nor, 28, dituduh menunggang kuda hingga mencederakan Arina Kirana Azrin pada kira-kira 10.40 pagi di pantai belakang Hotel Park Royal Batu Feringghi di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana menunggang kuda secara gopoh dan cuai hingga membahayakan nyawa manusia dan keselamatan orang lain.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 kerana tertuduh telah mengakibatkan kecederaan kepada kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, Mohd Khairi yang tidak diwakili peguam memohon wang jaminan itu dikurangkan.

Majistret Adibah Husna Zainal Abidin menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dan 8 Julai ini untuk sebutan semula kes. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain