suria

Empat Kanak-Kanak Mangsa Penderaan Diselamatkan

KUALA LUMPUR: Empat kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa penderaan serta pengabaian di sebuah pusat penjagaan dan pemulihan akhlak yang tidak berdaftar di Marang, Terengganu berjaya diselamatkan pada Jumaat.

Ketua Pengarah JKM, Hadzir Md Zain berkata kanak-kanak itu yang ditempatkan di Pusat Pertubuhan Kebajikan Sahabat, Insan dan Imam SeMalaysia (SIDIM)di Bukit Gasing, Marang, telahpun diserahkan kepada keluarga masing-masing.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Marang Terengganu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia telah menyelamatkan empat kanak-kanak itu setelah menurut laporan polis, dipercayai terdapat kes penderaan dan pengabaian di pusat itu yang tidak berdaftar dengan JKM," katanya dalam kenyataan media di sini.

Semalam, tiga pekerja yang berumur antara 28 dan 30 tahun ditahan di pusat jagaan itu berikutan aduan salah seorang bapa kepada penghuni pusat tersebut kerana dipercayai terlibat mendera penghuni-penghuni di pusat itu.

Hadzir berkata, JKM telah memulakan pasukan pemantauan bagi memastikan supaya pusat jagaan tidak berdaftar mengambil langkah perlu untuk berdaftar dengan JKM.

Beliau menegaskan mana-mana pusat jagaan tidak berdaftar boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-dua sekali selain premis mereka akan ditutup.

Beliau turut menasihati ibu bapa atau penjaga supaya memilih pusat jagaan yang berdaftar dengan JKM dan memberi penjagaan yang baik demi keselamatan serta kesejahteraan anggota keluarga mereka.

Ibu bapa dan penjaga juga disaran merujuk laman web JKM di www.jkm.gov.my atau menghubungi Talian Nur 15999 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pusat jagaan yang berdaftar dengan jabatan itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain