suria

Defendan Saman Fitnah Menteri Mahu Selesai Luar Mahkamah

KUALA LUMPUR: Saman fitnah yang difailkan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen terhadap Pengarah Integrated Startegic Communications Sdn Bhd (ISC), Austen Victor Lauw Zecha berkemungkinan dapat diselesaikan di luar mahkamah, atas permintaan pengarah agensi pengiklanan itu.

Perkembangan itu dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Sivil di sini, yang kemudiannya menetapkan 12 Julai depan sebagai sebutan semula kes untuk mendapatkan perkembangan mengenai penyelesaian tersebut.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk V. T Singham pada Jumaat, yang sepatutnya dijadualkan untuk mendengar permohonan injuksi oleh Ng.

Pada prosiding itu, Ng diwakili oleh peguam Sunil Abraham manakala peguam T. H. Liew mewakili Austen.

Ng, 65, memfailkan saman pada 14 April lalu menerusi Tetuan ZulRafique & Partners kerana mendakwa Austen, 71, telah mengeluarkan kenyataan fitnah dalam satu program radio berkaitan proses tender pengiklanan kementerian itu.

Dakwanya lagi, kenyataan itu yang dikeluarkan oleh Austen pada 18 Mac lalu di stesen radio BFM89.9 adalah tidak benar.

Seterusnya, naib presiden MCA itu juga mendakwa, kenyataan itu menggambarkan dirinya sebagai tidak jujur dan menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri untuk membuat keuntungan peribadi.

Ng juga mendakwa, kenyataan defendan telah mencemarkan reputasinya.

Berdasarkan pernyataan tuntutannya, Ng memohon agar gantirugi yang tidak dinyatakan jumlahnya selain injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada terus mengeluarkan kenyataan tersebut.

Ng juga menuntut perintah agar defendan membuat permohonan maaf di media tempatan pilihannya dan BFM89.9 serta kos berbuat demikian ditanggung oleh defendan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain