suria

Bekas Pengarah Nasioncom Bebas Pertuduhan Rasuah

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah NasionCom Holdings Bhd (NCH) Chee Kok Wing pada Jumaat dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap sembilan pertuduhan menerima rasuah melibatkan lebih RM3.85 juta.

Hakim Rosbiahanin Ariffin membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Kok Wing, 48, di akhir kes pendakwaan.

"Setelah meneliti keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah melepaskan dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa perlu membela diri.

"Dalam membuat keputusan ini, mahkamah mendapati dalam kes ini keterangan saksi pendakwaan iaitu pengadu tidak disokong mana-mana keterangan yang lain serta tujuan sebarang pembayaran jika ada, tidak terbukti," katanya.

Kok Wing yang diwakili peguam Justin Wee kelihatan gembira sejurus keputusan itu dibacakan.

Kok Wing, didakwa di mahkamah di sini dan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Mei 2008 terhadap kesalahan menerima rasuah daripada tiga pengarah syarikat makanan laut, Gropoint Ocean Food Sdn Bhd yang berpangkalan di Labuan, Sabah sebagai dorongan kepada pengarah Bahagian Terbitan dan Pelaburan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kris Azman Abdullah bagi membantu syarikat itu disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Suapan itu juga bagi menghentikan siasatan oleh pihak Suruhanjaya Syarikat terhadap syarikat itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 19 Mei 2005 dan 18 Jun 2006.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Fadzillah Ossman. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain