suria

Remaja Hilang Ditemui Mati Lemas Di Pantai Dekat Miri

MIRI: Seorang remaja yang dilaporkan hilang semasa berenang di pantai di sini ditemui mati pagi Khamis, dengan mayatnya tersangkut di antara batu di tengah laut.

Ketua Polis Daerah Miri Supt Ismail Idris berkata mayat Kenneth Sirai, 15, ditemui pada kira-kira pukul 10.45 pagi ini, dan pasukan penyelam mengambil masa kira-kira dua jam untuk membawa mayat itu keluar.

Menurutnya Kenneth bersama sekumpulan rakannya dari sekolah menengah berhampiran pantai itu dikatakan sedang berenang di kawasan berkenaan petang semalam apabila beliau bersama seorang rakannya Morison Kudi Silau, 13, dikatakan kelihatan terkapai-kapai.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini beliau berkata Morison dapat diselamatkan oleh seorang nelayan yang kebetulan berada di kawasan itu, manakala Kenneth terus hilang.

Ismail berkata pasukan mencari dan menyelamat yang membabitkan anggota polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, dan Jabatan Pertahanan Awam, terus melancarkan gerakan mencari selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 3 petang. -BERNAMA

Artikel Lain