suria

Polis Akan Bertindak Jika Perkasa, Bersih Degil - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana kumpulan yang akan menyertai perhimpunan haram di ibu negara pada 9 Julai depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, polis akan bertindak secara adil kepada dua kumpulan - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang akan mengadakan demonstrasi pada tarikh yang sama.

"Polis akan bertindak terhadap kedua-dua kumpulan berkenaan.

"Polis tidak berikan permit, tapi mereka ini degil untuk nak teruskan juga... tapi ingin saya tegaskan bahawa tindakan polis ke atas kedua-dua kumpulan ini adalah berasaskan kepada keselamatan negara," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, Rabu.

Sebelum ini Bersih dijadual akan mengadakan demonstrasi kedua bagi menuntut sistem pilihan raya yang adil.

Sehubungan itu Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali turut mengumumkan bahawa pertubuhan itu akan turut mengadakan perhimpunan pada hari yang sama bertujuan menghalang demonstrasi Bersih.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata polis akan bertindak secara profesional bagi menangani perkara berkenaan.

"Polis akan melihat isu ini dalam konteks keselamatan negara dan bertindak mengikut undang-undang bersandarkan kepada keselamatan negara," katanya.

Sementara itu ditanya sama ada polis akan mengambil tindakan awal bagi menghalang kedua-dua perhimpunan berkenaan, Hishammuddin berkata:

"Kalau ia didapati menjejaskan keselamatan negara, polis akan bertindak mengikut kesesuaian."

Artikel Lain