suria

Permohonan Anggota Parlimen Cabar Keputusan Kerajaan Didengar 7 Julai

KUALA LUMPUR: Permohonan Anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj mencabar keputusan agensi kerajaan menolak permohonannya mendapatkan dana bagi kawasan yang diwakilinya itu akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 7 Julai ini.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim menetapkan tarikh itu selepas menemui peguam B.Mahaletchumi yang mewakili Jeyakumar, dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Shamsul Bolhassan bagi pihak Peguam Negara.

Dalam permohonannya, Jeyakumar daripada Parti Sosialis Malaysia, menamakan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, Pengarah Pembangunan Perak dan kerajaan sebagai responden, selepas Pejabat Pengarah Pembangunan Perak menolak permohonannya mendapatkan dana untuk disumbangkan kepada SMJK Shin Chung, SJK Methodist dan Rumah Anak Yatim Nurul Ihsan selain dana bagi projek kecil untuk perkampungan Orang Asli.

Beliau memohon perintah supaya kesemua responden itu menjelaskan bidang kuasa masing-masing dalam mengagihkan dana daripada Peruntukan Khas Kawasan Pilihan Raya dan menyatakan prosedur pengagihan peruntukan itu sejak 2008. - BERNAMA

Artikel Lain