suria

Penurunan Harga RON97 Bukti Komitmen Kerajaan Kurangkan Beban Rakyat

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan menurunkan harga petrol RON97 kepada RM2.80 seliter dianggap satu tindakan tepat dan bijak serta membuktikan kerajaan sensitif kepada pergerakan harga minyak dunia.

Timbalan Presiden Persatuan Penjual-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Zulkifli Mokti berkata, walaupun sedikit, penurunan itu secara tidak langsung membuktikan komitmen kerajaan mengurangkan beban rakyat daripada segi penggunaan bahan bakar itu.

"Ini adalah tindakan yang pantas oleh kerajaan untuk turunkan harga minyak," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Bekuatkuasa tengah malam tadi, harga petrol RON97 turun 10 sen menjadikan harga baru bahan bakar itu RM2.80 seliter.

Mengulas mengenai rungutan dan aduan yang diterima daripada pengguna yang mengatakan masih terdapat stesen minyak yang belum menjual bahan bakar itu pada harga baru walaupun telah dikuatkuasakan, Zulkifli berkata, keadaan itu mungkin berlaku disebabkan pengusaha setesen berkenaan tidak mendapat maklumat yang harga petrol itu telah diturunkan.

"Kalau berlaku mungkin kerana mereka (pengusaha stesen) tidak mendapat berita mengenai harga baru itu. Jika dapat (berita) saya yakin mereka akan patuh dan tidak akan langgar peraturan," katanya.

Zulkifli berkata, bagi 3,000 pengusaha yang bernaung di bawah PDAM, persatuan telah memaklumkan mengenai harga baru itu melalui SMS sejurus mendapat maklumat daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sekitar 8 malam Rabu.

Beliau berkata, bagi pengusaha lain syarikat minyak berkaitan akan memaklumkan secara terus kepada stesen-stesen mengikut jenama masing-masing.

Sejak awal tahun ini, petrol RON97 telah mengalami empat kenaikan sehingga mencecah harga RM2.90 seliter. -BERNAMA

Artikel Lain