suria

KBS Ingin Syorkan Satu Bajet Khusus Untuk Parlimen Belia

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengemukakan satu bajet khusus kepada kerajaan berkaitan jenis elaun yang mungkin dipertimbangkan kepada Ahli Parlimen Belia yang akan dibentuk tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, antaranya termasuklah elaun waktu bersidang dan elaun ketika menghadiri mesyuarat berkaitan pembentukan jawatankuasa dalam bidang masing-masing.

Bagaimanapun, menurut beliau, perkara tersebut belum diputuskan dan masih di peringkat perbincangan.

"Untuk tujuan itu, pada awal bulan hadapan, kita akan adakan bengkel selama tiga hingga empat hari yang akan menghimpunkan pelbagai pihak untuk memberi cadangan terhadap isu elaun, umur dan prosedur memilih Ahli Parlimen Belia ini.

"Ini adalah antara perkara-perkara yang akan kita perhalusi terlebih dahulu sebelum KBS membawa perkara ini kepada Kabinet untuk persetujuan. Apabila adanya persetujuan itu nanti, dapatlah ditentukan peruntukan tahunan untuk Parlimen Belia,'' katanya ketika ditemuramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24, baru-baru ini.

Ahmad Shabery menyifatkan, kekangan paling utama kepada keberkesanan Parlimen Belia adalah penerimaan orang ramai dan belia serta kualiti pemilihan ahli Parlimen Belia yang berkualiti.

Ujarnya, masih wujud perasaan acuh tak acuh segelintir pihak yang menyifatkan penubuhan Parlimen Belia sebagai inisiatif yang remeh.

KBS, tegas Ahmad Shabery, mahu penubuhan Parlimen Belia dilakukan secara berperingkat-peringkat dan tidak terburu-buru bagi memastikan orang ramai tidak mempunyai persepsi yang salah kononnya Parlimen Belia membuang masa dan membazirkan duit rakyat.

Artikel Lain