suria

Iklan Dalam Media Sosial: Kementerian Hanya Belanja RM250,000 Bukan RM1.8 Juta

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan hanya membelanjakan RM250,000 daripada keseluruhan peruntukan RM1.8 juta dalam kempen pelancongannya dalam media sosial bagi kempen pelancongan permulaan melalui medium itu, kata menterinya Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

"Kita memulakan kempen itu dengan RM250,000 dan akan ditingkatkan apabila kita bersiap sedia. Jadi ia lebih daripada hanya Facebook.

"RM1.8 juta belum habis lagi. Saya telah mulakan untuk kempen pertama, saya ada enam kempen dan baru satu yang bermula, kita belum habis lagi" katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Ng berkata demikian bagi menyangkal dakwaan Angggota Parlimen Rasah daripada DAP Loke Siew Fook semalam kononnya kementerian itu membazirkan RM1.8 juta apabila mengadakan laman Facebook berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menyangkal dakwaan Lok itu dengan menyatakan bahawa wang itu dibelanjakan oleh syarikat yang mendapat tender itu, Ideal Creations Sdn Bhd, untuk mewujudkan dan mengendalikan dan memantau kempen pelancongan dalam media sosial melalui iklan bagi acara-acara kementerian.

Ng berkata, beliau akan memberi taklimat kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat kabinet esok bagi menjelaskan mengenai perbelanjaan RM1.8 juta untuk kempen media sosial itu.

"Sudah tentu kabinet memberi perhatian atas perkara ini. Saya akan menjelaskannya kepada mereka dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), saya sentiasa bersedia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain