suria

Bekas Presiden Dan Pemimpin SUPP Mesti Letak Jawatan Beramai-Ramai

KUALA LUMPUR: Kepimpinan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) termasuk presidennya Tan Sri Dr George Chan, mestilah meletakkan jawatan secara beramai-ramai untuk memberi laluan kepada pemimpin muda baru bagi mengeluarkan parti ini daripada krisis terburuknya sejak ia ditubuhkan.

Bekas presiden SUPP Tan Sri Dr Wong Soon Kai berkata pemimpin parti sekarang mesti juga mengadakan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun (TDC) secepat mungkin untuk memilih pemimpin baru.

"Parti itu hendaklah bertindak segera kerana ia adalah suatu perkara yang dianggap hidup dan mati untuk parti berkenaan. Tidak ada sebab pemimpin sekarang untuk terus memegang jawatan dan berjuang bagi kerusi kosong di kalangan mereka.

"Untuk menyelamatkan parti, mereka mestilah memikirkan apa yang terbaik untuk parti sebaliknya berjuang di kalangan mereka bagi jawatan tertinggi parti," katanya dalam temu bual yang disiarkan oleh The Borneo Post pada Khamis.

Beliau juga berkata bahawa SUPP, yang ditubuhkan pada 1959, kalah teruk pada pilihan raya negeri 16 April lepas disebabkan pengundi muda lebih peka dengan isu terkini dan berazam untuk perubahan.

SUPP, parti komponen Barisan Nasional (BN) kedua terbesar di Sarawak selepas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kalah 13 daripada 19 kerusi yang ditandingi, pencapaian terburuk dalam sejarah parti berusia 52 tahun itu.

"Dahulu, semua persatuan Cina, termasuk pelbagai suku dan sekolah Cina sentiasa di belakang SUPP. Kini itu bukan lagi bagi SUPP.

"Jadi untuk menghidupkan semula parti itu, pemimpin SUPP hendaklah menggunakan semua cara untuk mendekati pemimpin akar umbi bagi mendapatkan penyelesaian dalam menyelamatkan parti tersebut sebelum terlambat," kata beliau.

Bagaimanapun, Dr Wong yang meninggalkan SUPP pada 1996 dalam temu bual itu enggan menjawab soalan siapa yang sepatutnya mengetuai parti tersebut jika pemimpin sekarang mengundurkan diri dengan hanya mengatakan beliau tidak dapat mengatakan kerana beliau tidak lagi berada dalam parti.

Dr Wong, 83, seorang pakar perubatan adalah timbalan ketua menteri dan berkhidmat sebagai presiden SUPP dari 1990 hingga 1996. Beliau meletakkan jawatan sebagai presiden parti setelah dikalahkan oleh calon DAP Wong Ho Leng, yang kini pengerusi DAP Sarawak, untuk kawasan pilihan raya negeri Bukit Assek pada pilihan raya negeri 1996.

Kekalahan Dr Wong, yang suatu ketika dianggap adalah salah seorang ahli politik yang hebat di Sarawak, di tempat kelahirannya mengakibatkan tamparan kuat kepada parti itu dan akhirnya membawa pada berakhirlah karier politik beliau.

Dr Chan, yang mengambil alih daripada Dr Wong sebagai presiden parti dan timbalan ketua menteri juga dikalahkan oleh pendatang baru DAP Ling Sie Kiong, seorang peguam berumur 28 tahun di kawasan pilihan raya negeri Piasau pada pilihan raya negeri baru-baru ini.

Berikutan dengan kekalahan itu, Dr Chan meletakkan jawatan tetapi jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti meminta beliau untuk kekal sehingga akhir tahun ini kerana SUPP dijadual mengadakan pemilihan bagi anggota jawatankuasa baru. -BERNAMA

Artikel Lain