suria

Suami Isteri Dituduh Bunuh Amah Indonesia

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas pertuduhan membunuh pembantu rumah warga Indonesia mereka, Isti Komariyah.

Bekas juruteknik, Fong Kong Meng, 55, dan isterinya, Teoh Ching Yen, 53, dilihat asyik menundukkan kepala mereka semasa pertuduhan dibacakan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan Teoh memberitahu bahawa dia tidak memahami pertuduhan yang dibacakan di dalam Bahasa Malaysia menyebabkan ia dibacakan sekali lagi dalam dialek Kantonis.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan yang berbahaya sehingga menyebabkan kematian Isti, 26, antara 1 Julai 2010 dan 5 Jun lalu di rumah nombor 90, Jalan SS 2/6, Sea Park, dekat sini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum mati mandatori.

Pada prosiding itu, Ketua Unit Pendakwaan Selangor, Mohd Azari Harun memaklumkan mahkamah bahawa laporan bedah siasat mangsa telah siap, tetapi laporan kimia masih belum disiapkan.

Beliau juga memohon agar mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Peguam M. S Guok yang mewakili Fong memohon agar anak guamnya diberi penjagaan kesihatan semasa berada di dalam tekanan kerana menghidap penyakit tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Peguam S.K Thong mewakili Teoh pada prosiding tersebut.

Majistret Mohamad Ibrahim Muhammad Ghulam menasihatkan Guok untuk berurusan dengan Jabatan Penjara berhubung perkara tersebut dan menetapkan 18 Julai depan sebagai sebutan semula.

Fong akan menjalani tempoh tahanan reman di Penjara Sungai Buloh manakala Teoh akan ditahan di Penjara Kajang.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Isti disahkan meninggal dunia pada 7.50 malam, 5 Jun lalu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Mangsa dihantar ke PPUM oleh majikannya dan difahamkan Isti telah mula bekerja dengan pasangan terbabit sejak Disember 2008.

Difahamkan, terdapat kesan lebam baru dan lama serta calar pada bahagian belakang, dahi dan lengan mangsa.

Pemeriksaan yang dilakukan di rumah pasangan tersebut juga dikatakan telah menemui beberapa petunjuk yang dapat membantu siasatan.

Artikel Lain