suria

Shamsuddin Akui Beri Keterangan Kepada SPRM Selepas Bebas

SHAH ALAM: Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni pada Rabu, mengakui bahawa beliau ada memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehari selepas dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dengan bekas Menteri Besar (MB) Selangor, Mohamad Khir Toyo.

Shamsuddin dibebaskan daripada pertuduhan pada 6 Jun lalu, selepas pihak pendakwaan memaklumkan hasrat mereka untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadapnya, dan keterangannya kepada SPRM direkodkan pada 7 Jun lalu.

Di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, Shamsuddin, 55, mengakui bahawa terdapat beberapa percanggahan pada keterangan kepada SPRM pada 7 Jun lalu dengan keterangannya pada kali pertama yang direkodkan oleh badan bebas itu pada tahun 2009.

Saksi kedua pendakwaan berkata, terdapat tiga percanggahan iaitu: - keterangannya pada tahun 2005 yang menafikan bahawa hartanah itu, melibatkan dua lot tanah dan sebuah banglo dijual kepada Mohamad Khir pada harga yang rendah daripada nilai pasaran.

- Keterangannya bahawa dia melantik pereka laman, Nasir Ismail, 55, untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian pada banglo tersebut, walhal keterangan terbaru mengatakan Nasir (yang telah melakukan kerja-kerja pengubahsuaian dengan berkonsepkan Bali pada harga RM6 juta) dilantik oleh Mohamad Khir.

- Keterangan Shamsuddin bahawa beliau menjual hartanah tersebut kepada Mohamad Khir dengan tujuan untuk menutup kerugian yang dialaminya.

"Apa yang dikatakan pada keterangan saya pada 7 Jun lalu dan di mahkamah pada hari ini adalah yang sebenarnya," kata Shamsuddin.

Sementara itu, semasa disoal balas oleh peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Mohamad Khir, saksi berkata, beliau membeli hartanah tersebut selepas disuruh oleh Mohamad Khir dengan harapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu akan membeli semula pada masa hadapan.

Ketika diminta untuk menerangkan bagaimana Mohamad Khir boleh 'menyuruh' beliau untuk membeli hartanah tersebut daripada pemilik asal, Shaiful Aznir Shahabudin, 51, saksi menjawab: "Saya tidak ingat perkataan sebenar yang digunakan. Ia adalah cakap mulut.

"Bila Datuk Sumadi Ismail (seorang ahli perniagaan yang memberitahu mengenai hartanah tersebut) tidak boleh membeli, Mohamad Khir kata pada saya 'Din, you (kamu) ajelah'. Perkataan 'suruh' tidak keluar, tetapi matanya, bahasa badannya kita kena baca. Itu bahasa orang berniaga."

Shamsuddin juga bersetuju dengan cadangan Kamarul Hisham bahawa beliau membeli hartanah tersebut dengan risiko bahawa Mohamad Khir berkemungkinan tidak mahu membeli rumah tersebut daripadanya.

Bagaimanapun, saksi seterusnya memberitahu bahawa beliau 'positif' Mohamad Khir akan membeli semula hartanah tersebut berdasarkan cara Mohamad Khir dan isterinya, Zahrah Kechik memberi arahan kepada Nasir untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian.

"Cara Mohamad Khir suruh dan minta Nasir telah memberi gambaran kepada saya rumah itu macam rumah itu rumah dia," tambahnya.

Pada keterangan lain, Shamsuddin menafikan bahawa beliau telah mengambil inisiatif sendiri untuk menghubungi Mohamad Khir untuk berbincang mengenai hartanah tersebut, selain tidak melihat perkara itu sebagai satu 'peluang' kepadanya untuk memberi pertolongan kepada Mohamad Khir.

"Saya pergi melihat rumah itu bersama Sumadi. Sebelum saya pergi, saya memang tidak tahu Mohamad Khir juga berminat dengan hartanah tersebut.

"Saya pergi untuk lihat cantik atau tidak. Soal minat atau tidak minat pada rumah itu adalah nombor dua. Tengok dulu kerana dipelawa oleh Sumadi," katanya.

Shamsuddin juga memberitahu, adalah menjadi kebiasaan kepada syarikatnya seperti Roniaga Sdn Bhd dan Bidara Lumayan Sdn Bhd untuk menulis surat kepada MB apabila memohon projek daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Beliau yang mula berjinak-jinak sebagai pemaju pada tahun 1995 juga pernah berurusan dengan MB pada waktu itu, iaitu Tan Sri Abu Hassan Omar.

Walaupun telah lama menjalankan aktiviti perniagaan, Shamsuddin merendah diri apabila tidak begitu selesa untuk menyatakan dirinya adalah seorang pemaju dan kontraktor yang berpengalaman.

Jawapan saksi menyebabkan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki berkata : Seorang peguam yang telah berkhidmat selama 25 tahun juga tidak akan mengatakan dirinya berpengalaman. Itu meninggi diri.

Shamsuddin: Saya setuju. Saya juga ingin jelaskan, apabila saya dituduh, gelaran 'Datuk' saya dah digantung. Jadi kalau panggil saya Shamsuddin pun saya ok. Kamarul Hisham: Kerajaan Negeri menggantung gelaran kamu, tetapi saya tidak. (Kamarul Hisham memanggil saksi dengan gelaran tersebut)

Dalam kes ini, Mohamad Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk dirinya dan Zahrah, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas Sdn Bhd melalui Shamsuddin pada harga yang rendah iaitu RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Hartanah tersebut yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L,Seksyen 7, di sini dan perbuatan itu dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai MB pada ketika itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007 dan jika sabit kesalahan, Mohamad Khir boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Artikel Lain