suria

Pasaran Iklan Mudah Alih Berkembang 17%

KUALA LUMPUR: Pasaran pengiklanan mudah alih Malaysia berkembang 17 peratus kepada 245 juta capaian pengiklanan bulanan dari Januari hingga April tahun ini, dipacu oleh telefon pintar.

Dalam satu kenyataan, Rabu, InMobi, rangkaian pengiklanan mudah alih, menjelaskan, telefon pintar yang kini mewakili dua daripada setiap lima iklan dalam pasaran, berkembang 28 peratus dalam tempoh yang sama.

Hasil kajian itu merupakan sebahagian daripada Laporan Tinjauan Mudah Alih April 2011 InMobi Pasaran Malaysia.

Naib Presiden/Pengarah Urusan InMobi Asia Pasifik, Atul Satija berkata jumlah capaian mudah alih di Malaysia menunjukkan capaian peranti mudah alih yang boleh menawarkan jenama tempatan, serantau dan dunia dalam pasaran mudah alih.

"Berdasarkan peningkatan besar dan berterusan itu, Malaysia pantas menjadi pasaran pertumbuhan utama bagi kami yang dipacu oleh bajet pengiklanan yang lebih besar dan kesedaran yang lebih baik terhadap manfaat media berkenaan," katanya.

Beliau berkata, Nokia kekal sebagai pengeluar utama di Malaysia yang menguasai capaian 37.9 peratus manakala HTC merupakan pemenang terbesar pada suku pertama, meningkatkan penguasaan sebanyak 5.6 mata. Apple iPhone kekal sebagai peranti paling popular di Malaysia dengan penguasaan 8.2 peratus capaian, katanya.

Atul berkata, enam daripada setiap 10 iklan mudah alih merentas rangkaian InMobi di Malaysia disampaikan menerusi peranti Nokia dan Sony Ericsson. - BERNAMA

Artikel Lain