suria

MCA Lancar Dana Pinjaman Pendidikan RM30j

KUALA LUMPUR: MCA akan melancarkan dana pinjaman bernilai RM30 juta untuk pengajian tinggi bulan depan, terbuka kepada semua pelajar Malaysia daripada pelbagai kaum, kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata pinjaman tanpa faedah itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum selepas pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Unified Examination Certificate (UEC) atau mana-mana prauniversiti termasuk pengajian ke peringkat ijazah yang diiktiraf.

"Pinjaman sebanyak RM30,000 bagi pelajar di universiti tempatan dan RM50,000 bagi pelajar yang menuntut di institusi asing manakala mereka yang mengikuti pengajian pasca siswazah akan menerima antara RM80,000 dan RM100,000," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden MCA di sini, Selasa.

Selain itu, katanya pelajar dari Semenanjung Malaysia yang menuntut di Sabah dan Sarawak dan menghadapi masalah kewangan untuk membiayai tiket penerbangan, mereka juga boleh membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada pinjaman dana pelajar yang sama di mana pemohon yang berjaya akan menerima antara RM500 hingga RM1,500.

"Jumlah nilai pinjaman diberi bergantung kepada tempat pengajian pelajar di mana sasaran jumlah penerima adalah antara 400 hingga 500 pelajar," katanya.

Dr Chua menegaskan pinjaman tanpa faedah dan bantuan itu adalah sebahagian komitmen parti itu untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia, terutama bagi mereka yang menghadapi kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian.

"Sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji secara terperinci tentang bagaimana permohonan disemak juga had pinjaman yang ditetapkan," katanya dan menambah pinjaman itu diberikan berdasarkan keperluan.

Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha mempengerusikan jawatankuasa itu yang turut disertai Naib Presiden parti Datuk Donald Lim Siang Chai dan Gan Ping Sieu, Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong, Ahli Jawatankuasa Pusat MCA Datuk Dr Hou Kok Chung dan Ahli Majlis Presiden MCA Chua Tee Yong.

Ditanya tentang bagaimana MCA dapat memastikan pinjaman itu dibayar semula selepas kerajaan menghadapi masalah tentang pembayaran semula Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Dr Chua menerangkan, "kami mempunyai Yayasan Chang Ming Thien yang tidak pernah menghadapi masalah pembayaran pinjaman."

Beliau turut menjelaskan kurang satu peratus daripada 9,000 penerima pinjaman Koperasi Pendidikan milik MCA, Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (KOJADI) yang telah beroperasi sejak 30 tahun lepas, yang tidak membayar pinjaman.

"MCA mempunyai mekanisme yang efektif untuk mendapatkan semula bayaran pinjaman. Orang ramai mempunyai kesedaran bahawa bantuan adalah diterima daripada parti politik dan tahu mereka perlu membayar semula," katanya. BERNAMA

Artikel Lain