suria

Langkah Diambil Halang Laman Web Kerajaan Digodam - Rais

KUALA LUMPUR: Tindakan yang sewajarnya sedang diambil bagi menghalang cubaan menggodam laman web rasmi kerajaan, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Mengulas laporan bahawa satu kumpulan dari luar negara dikenali "Anonymous" mahu menggodam laman web www.malaysia.gov.my, beliau berkata perkara itu adalah sesuatu yang tidak dijangka tetapi ancaman serupa pernah dibuat sebelum ini.

"Kita telah memberitahu perkara ini kepada pihak-pihak berwajib, dan kita telah mengambil tindakan pencegahan yang perlu menerusi Mampu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta agensi-agensi yang bertanggungjawab mengenai keselamatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Penulis Blog dan Media Sosial Sedunia 2011 di sini, Rabu.

Rais berkata kerajaan juga sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku serangan.

"Anonymous" dilaporkan akan melancarkan serangan dinamakan "Operation Malaysia" pada 3.30 pagi esok dengan alasan kononnya kerajaan mengenakan tapisan Internet dan telah menyekat 10 laman perkongsian fail.

Rais menjelaskan bahawa Malaysia tidak mengenakan sekatan Internet tetapi akan mengambil tindakan terhadap mana-mana laman web yang mengandungi unsur jenayah.

"Saya rasa mereka tidak faham niat baik kita. Kita tidak ada sekatan tetapi apabila berlaku jenayah siber, mekanisme itu (sekatan) akan digunakan," katanya.

Beliau berkata kesemua laman web yang berkenaan itu boleh merayu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia agar sekatan itu ditarik balik.

"Setakat ini, suruhanjaya itu tidak menerima sebarang rayuan," katanya.

Dalam ucap utamanya sebelum itu, Rais berkata blog memerlukan penulis yang adil dan bertanggungjawab yang sentiasa akur kepada garis panduan dan bersikap profesional.

"Terdapat ribuan penulis blog tetapi berapa ramaikah daripada mereka yang dilatih dalam bidang kewartawanan," katanya.

Mereka ini perlu diingatkan tentang apa yang mereka tulis dan cara mereka menyebarkan maklumat, kata Rais sambil menjelaskan bahawa penulis blog mempunyai peranan besar sebagai satu "suara baru" dalam dunia tanpa sempadan sekarang.

"Mereka ini harus gunakan suara ini untuk kebaikan negara kita, sebagai pemangkin kepada perpaduan rakyat," katanya.

Rais juga berkata bahawa sehingga 8 Jun lepas, langganan jalur lebar di Malaysia mencecah 4.98 juta manakala pengguna Internet di negara ini berjumlah 17.5 juta.

Seramai 400 penulis blog dari seluruh dunia menghadiri perhimpunan selama dua hari itu.-BERNAMA

Artikel Lain