suria

KPDNKK Mohon Kerajaan Kurangkan Cukai Pendapatan Koperasi

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah memohon kepada kerajaan supaya mengurangkan cukai pendapatan yang perlu dibayar oleh koperasi yang disifatkan agak tinggi.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada ketika ini, koperasi perlu membayar cukai pendapatan sehingga 28 peratus iaitu jauh lebih tinggi berbanding syarikat korporat yang hanya perlu membayar sebanyak 25 peratus.

"Sebab itu kita merayu kepada kerajaan khususnya Kementerian Kewangan supaya jika tidak dapat dikurangkan lebih rendah sekali pun, cukai pendapatan koperasi itu, memadai setara dengan syarikat korporat," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Maktab Kerjasama (Perbadanan) (Pindaan) 2010 di Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Rang undang-undang itu bertujuan menubuhkan Kolej Koperasi Malaysia bagi menggantikan Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) dalam usaha melonjakkan sektor koperasi di negara ini. Fungsi kolej itu antara lain untuk menganjurkan kursus-kursus peringkat diploma dalam pengajian koperasi dan pelbagai program lain bagi meningkatkan prestasi sektor berkenaan di negara ini.

Selain itu Ismail Sabri berkata kerajaan turut memantau dengan rapi usaha penubuhan bank koperasi oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang kini dalam rangka awal penubuhannya.

Katanya ini bagi memastikan bank koperasi Angkasa itu benar-benar diterajui oleh golongan profesional dalam bidang pengurusan perbankan dan tidak hanya ditadbir daripada kalangan pegawai Angkasa sahaja.

Rang Undang-Undang itu kemudiannya diluluskan. -BERNAMA

Artikel Lain