suria

KDN Siasat Dakwaan Warga Singapura Diarah Bogel Di Johor

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung laporan kononnya dua wanita warga Singapura diarah melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel sewaktu ditahan kerana memasuki negara ini secara tidak sah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bagi memastikan ketelusan terhadap siasatan yang akan dijalankan, inkuiri berkenaan tidak hanya dilakukan secara dalaman sebaliknya turut melibatkan pihak ketiga.

"Apa yang kita ingin tegaskan, siasatan tidak akan hanya dilakukan oleh pihak dalaman iaitu imigresen, sebaliknya turut membabitkan pihak polis dan depoh tahanan sebagai pihak ketiga," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, Rabu.

The Straits Times pada Selasa melaporkan dua wanita berkenaan memandu menyeberangi Tambak Johor pada 9 Jun lalu dari republik berkenaaan ditahan oleh pegawai imigresen Malaysia dan dipaksa menanggalkan pakaian sebelum kedua-duanya diarah melakukan ketuk ketampi sebanyak sepuluh kali.

Selain itu Hishammuddin berkata berdasarkan maklumat awal, beliau difahamkan kejadian berkenaan tidak dilakukan oleh pegawai imigresen di Johor Baru.

"Adalah tidak benar jika dikatakan bahawa pihak imigresen yang lakukan perkara ini... sebaliknya ia membabitkan pihak depoh tahanan," katanya.

Sementara itu ditanya sama ada ketuk ketampi adalah amalan biasa yang dilakukan pihak depoh tahanan, Hishammuddin menafikannnya.

"Ia bukan perkara biasa... pertama kali saya tahu tentang perkara ini.

"Melalui inkuiri yang akan dijalankan ini juga membolehkan kita mengetahui dan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) mereka," katanya.

Artikel Lain