suria

Tindakan Tegas Ke Atas Syarikat Skim Kutu

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan Rang Undang-undang (Larangan) Kumpulan Wang Kutu (Pindaan) 2011 dengan memperuntukkan tindakan tegas denda sehingga RM500,000 terhadap syarikat yang menganjurkan perniagaan skim kutu.

Pindaan terhadap rang undang-undang itu turut menyaksikan peningkatan tempoh pemenjaraan maksimum daripada tiga tahun sebelum ini kepada sepuluh tahun bagi kesalahan yang sama.

Bagaimanapun akta berkenaan tidak tertakluk kepada penganjur kutu kecil-kecilan yang hanya melibatkan jumlah wang dan kumpulan kecil tanpa memberi keuntungan kepada penganjur.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, pembentukan akta berkenaan memberi fokus terhadap syarikat yang menjalankan perniagaan kutu bagi mengaut keuntungan.

"Ia hanya fokus kepada penganjur yang berasaskan kepada perniagaan dan pastinya menguntungkan.

"Kerajaan tidak akan ambil tindakan terhadap penganjur kutu yang cari 10 orang peserta dengan komitmen RM100 seorang, dan setiap bulan seorang akan dapat RM1,000 secara bergilir-gilir. Tiada siapa akan dapat keuntungan daripada kutipan itu," katanya pada sesi pergulungan perbahasan di Dewan Rakyat di sini.

Kata beliau, kerajaan memandang serius terhadap operasi syarikat yang menjalankan perniagaan kutu demi keuntungan penganjur.

"Kalau wujudkan syarikat dan kumpul duit dari puluh-puluh ribu orang dan unsur bisnes berlaku apabila penganjur kutu mengambil komisyen misalnya 10 peratus untuk dirinya yang dipanggil sebagai service charge dan apa saja... kita akan ambil tindakan," katanya.

Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 bertujuan melarang pendaftaran atau pelesenan perniagaan yang bertujuan menganjurkan atau merancang untuk menganjurkan wang kutu.

Artikel Lain