suria

Tiket Bersepadu Untuk Perkhidmatan LRT Dan Monorel Mulai 30 November

KUALA LUMPUR: Mulai 30 November ini, hanya satu tiket diperlukan untuk menggunakan perkhidmatan aliran transit ringan (LRT) laluan Kelana Jaya, Ampang dan perkhidmatan monorel.

Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Shahril Mokhtar berkata satu sistem tiket bersepadu "Automatic Fare Collection" (AFC) telah diperkenalkan bagi membolehkan penumpang tidak perlu lagi mendapatkan tiket untuk perkhidmatan yang berbeza.

Dengan cara itu juga, ia dapat mempercepatkan proses membeli tiket untuk 60 penumpamg dalam masa seminit.

"Namun sistem ini hanya boleh diguna pakai untuk laluan Kelana Jaya dan Ampang sebelum digunakan untuk perkhidmatan monorel pada suku pertama tahun depan," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Shahril berkata sistem tersebut pada permulaannya akan dilaksanakan dalam tiga peringkat bermula 5 Julai ini bagi pengguna kad Touch & Go untuk pengguna LRT laluan Kelana Jaya di Taman Paramount dan Abdullah Hukum serta di stesen Sultan Ismail dan Bukit Jalil bagi laluan Ampang.

Beliau berkata pada September, penumpang boleh memilih untuk menggunakan sama ada sistem lama dan baru sebelum sistem baru dilaksanakan sepenuhnya di semua stesen pada penghujung November tahun ini.

Beliau berkata perubahan kepada sistem tiket perlu dilakukan kerana sistem sedia ada hampir usang dan Prasarana sukar mencari alat ganti.

"Kami tidak boleh memasang pintu baru dan sistem sekarang tidak mampu menampung sistem tiket bersepadu. Yang lebih penting sistem sedia ada tidak lagi dapat menampung jumlah penumpang yang dijika digabungkan perkhidmatannya mencecah 350,000 orang sehari.

Sistem baru akan juga membolehkan penumpang untuk membeli dan menambah nilai tiket secara dalam talian menerusi laman web dan poin kesetiaan juga akan diperkenalkan, katanya.

"Prasarana turut menyasar untuk menyepadukan sistem baru tersebut dengan perkhidmatan bas RapidKL dan dengan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) pada 2013," kata Shahril.- BERNAMA

Artikel Lain