suria

Surirumah Didakwa Cederakan Pembantu Rumah Warga Indonesia

KLANG: Seorang surirumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap pembantu rumahnya seorang warga Indonesia, pada minggu lepas.

Nyew Sock Fang, 34, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Meliyah, 25, di dalam bilik utama rumah di No. A2-1-2, Blok A2, Pelangi Court, Jalan Pekan Baru di sini, kira-kira pukul 3.30 petang, 8 Jun lepas.

Ibu kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Nadia Othman membenarkan Nyew dibebaskan dengan jaminan RM8,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Anida Mohamad Nasir.

Terdahulu, Nyew memaklumkan kepada mahkamah bahawa sepanjang dua tahun bekerja pembantu rumahnya tidak menimbulkan masalah.

"Baru-baru ini sahaja dia buat-buat luka. Minta tolong mahkamah periksa," katanya yang ditangkap polis pada 9 Jun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain