suria

Peniaga Sarang Burung Cedera Ditembak Di Ipoh

IPOH: Seorang peniaga sarang burung cedera parah selepas ditembak sebanyak enam das oleh seorang lelaki di hadapan sebuah pusat perubatan tradisional di Jalan Tasek di sini Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Ibrahim Abu Bakar berkata isteri mangsa yang berada di dalam kereta tidak cedera.

Kejadian berlaku pada kira-kira 4.30 pagi semasa mangsa baru sahaja memberhentikan kereta apabila tiba-tiba seorang lelaki menerpa dan terus mengugut mangsa menyerahkan wang, katanya.

Sebelum sempat mangsa berbuatsesuatu, lelaki berkenaan terus melepaskan tembakan, kata Ibrahim kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Mangsa yang berusia 46 tahun cedera di bahagian perut dan tangan dan dilaporkan dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, katanya.

Ibrahim berkata lelaki yang menembak mangsa melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal dan polis berharap orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan dapat memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

Ibrahim berkata mangsa menjalankan perniagaan sarang burung di Ayer Tawar dekat Sitiawan.

Menurutnya daripada siasatan awal, suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an dan berkulit gelap.

Sementara itu dalam kejadian lain, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun kerana terbabit dalam kegiatan jenayah dengan menyamar sebagai anggota Rela dan polis.

Lelaki berkenaan yang memandu kereta jenis Naza Ria ditahan pada pukul 3.50 pagi semalam di Jalan Pasir Putih di sini dalam keadaan mencurigakan ketika polis menjalankan rondaan di kawasan berkenaan, katanya.

Ibrahim berkata antara yang dirampas daripada lelaki itu termasuk sepasang uniform polis, uniform Rela, dua pucuk pistol mainan, cotar, walker-talkie, baju kalis peluru, buku undang-undang jenayah dan buku catatan harian polis.

Lelaki yang berasal dari Melaka itu direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut, tambahnya.- BERNAMA

Artikel Lain