suria

Kumpulan Curi Kabel Tembaga Tumpas

GEORGE TOWN: Polis menumpaskan satu kumpulan mencuri kabel tembaga dari tapak projek binaan kilang di sekitar Bayan Lepas selepas menahan enam suspek termasuk seorang peniaga barang lusuh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Lai Fah Hin berkata Selasa hasil maklumat orang ramai, satu pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Barat Daya diketuai ASP Mohd Jalaluddin Sinin semalam menahan kesemua suspek di kawasan sekitar Bayan Lepas, Butterworth, Bukit Mertajam dan Nibong Tebal.

Menurutnya kumpulan yang dikenali sebagai "Anton Gang" ini telah bergiat sejak awal tahun ini diketuai seorang tukang kayu berusia 43 tahun yang baru dibebaskan daripada penjara tahun lepas kerana kes pecah rumah dan curi.

Kumpulan itu mempunyai empat lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai buruh binaan manakala peniaga barang lusuh yang berusia 30 tahun itu adalah dari Butterworth.

"Modus operandi kumpulan ini adalah menyerbu dan mengikat pengawal keselamatan di tapak binaan sebelum melarikan kabel dengan menggunakan kenderaan mereka," kata Lai.

Beliau berkata polis menemui beberapa gulungan wayar kabel tembaga dari beberapa kedai barang lusuh. - BERNAMA

Artikel Lain