suria

Khir Toyo Beli Hartanah Lebih Murah Dari Harga Pasaran

SHAH ALAM: Seorang Penolong Pegawai Penilaian di Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Selangor memberitahu, Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni telah menjual dua lot tanah dan sebuah rumah banglo di Seksyen 7, di sini kepada Dr Mohamad Khir Toyo pada harga yang rendah dari nilai sebenar hartanah tersebut.

Noor Faiza Zainuddin, 48, memberitahu berdasarkan penilaian yang dibuatnya, hartanah tersebut bernilai RM4.8 juta, iaitu RM3.9 bagi lot tanah nombor 8 yang mempunyai sebuah banglo, manakala tanah kosong di lot 10 bernilai RM918,000.

Keterangan Shamsuddin di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, menyatakan semua hartanah tersebut dijual kepada bekas Menteri Besar Selangor itu pada nilai RM3.5 juta kerana bimbang kedudukannya sebagai ahli perniagaan tergugat.

Semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, Noor Faiza mengakui bahawa beliau ada bertanyakan kepada Shamsuddin mengapa hartanah tersebut dijual pada harga yang rendah.

"Saya membuat pemeriksaan terhadap hartanah tersebut bersama Shamsuddin dan didapati pada masa itu, rumah sedang diubah suai. Saya menemubual Shamsuddin dan menjadi amalan untuk bertanya mengapa beliau menjual pada harga yang rendah dari pasaran.

"Beliau beritahu ada masalah dan terpaksa jual," katanya dan menambah tidak bertanya lanjut.

Faiza yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan ketujuh berkata, permohonan untuk menilai harga hartanah tersebut diterima daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tujuan cukai setem pada tahun 2007.

Noor Faiza semasa disoal oleh peguam Kamarul Hisham Kamariuddin yang mewakili Mohamad Khir mengakui bahawa akan berlaku perbezaan dalam penilaian yang dilakukan beliau dengan seorang pakar penilai yang lain kerana asas penilaian adalah berbeza.

"Laporan oleh penilai swasta adalah lebih terperinci manakala penilaian kita adalah secara umum kerana ada asasnya," tambah saksi yang melakukan kira-kira 100 hingga 150 penilaian sebulan.

Perbicaraan pada Selasa juga menyaksikan Setiausaha Bahagian Dewan Undangan Negeri Selangor, Mohd Yasin Bidin, 45, dipanggil sebagai saksi pendakwaan keenam.

Menurutnya, Mohamad Khir dilantik sebagai Menteri Besar pada 24 Ogos 2000 sehingga 26 Mac 2008.

"Tugas utama beliau adalah mentadbir sebuah negeri termasuk membuat dasar dan keputusan penting untuk sesebuah negeri," tambahnya.

Mohamad Khir, 45, sedang dibicarakan atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada syarikat Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung Rabu.

Artikel Lain