suria

Ismail Sabri Ketuai Rombongan Misi Perdagangan Ke Jakarta

KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 syarikat francais dan satu gerakan koperasi Malaysia akan menyertai program Francais Antarabangsa, Ekspo dan Persidangan Lesen dan Konsep Perniagaan, IRFA 2011 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Jakarta selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai misi perdagangan tersebut bermula Jumaat ini sehingga Selasa ini.

"Misi perdagangan ini akan disertai oleh syarikat francais, koperasi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)," kata kementerian itu dalam kenyataan di sini, Selasa.

KPDNKK berkata misi itu bertujuan untuk membantu usahawan dan ahli perniagaan Malaysia dalam mengembangkan perniagaannya keluar negara di samping memberi peluang pengalaman dan pendedahan kepada mereka.

Kementerian itu juga akan menganjurkan program Citarasa Malaysia (TOM) yang akan dirasmikan oleh Ismail Sabri pada Ahad ini di Jakarta.

Ismail Sabri juga dijadual menerima kunjungan hormat dan perbincangan dengan Menteri Perdagangan Indonesia, Dr Mari Elka Pangestu dan Menteri Koperasi dan Usaha Kecil dan Menengah Indonesia, Dr Syarief Hasan.

"Sebanyak 163 produk daripada 18 syarikat PKS tempatan akan ke rangkaian peruncitan Carrefour di Jakarta," menurut kenyataan itu.

Beliau juga dijangka melawat cawangan francais tempatan yang berjaya meluaskan pasaran di Indonesia seperti SABA Islamic, Old Town White Coffee dan CSL serta akan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan Kementerian Koperasi dan Usaha Kecil dan Menengah Indonesia. - BERNAMA

Artikel Lain