suria

Dewan Rakyat Tolak Usul Bincang Kematian Ahmad Sarbani

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Selasa menolak usul tergempar bagi membincangkan mengenai kematian mengejut Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane April lalu.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee berkata, penolakan tersebut dibuat ekoran usul berkenaan tidak memenuhi tiga syarat yang ditetapkan bagi membahaskan usul berkenaan.

"Saya dimaklumkan bahawa satu inkues bagi menyiasat mengenai kematian Ahmad Sarbani akan diadakan pada 4 hingga 15 Julai ini.

"Jadi perkara ini sedang diatasi dan tidak perlu disegerakan untuk dibahaskan di dewan ini," katanya ketika mengumumkan keputusan berkenaan menggunakan Peraturan Mesyuarat 18(2).

Usul berkenaan dibawa Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) menggunakan Peraturan Mesyuarat 18(1) pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ahmad Sarbani, 56, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan SPRM setelah dilaporkan datang untuk bertemu pegawai SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai kastam.

Artikel Lain