suria

PPP Sasar Daftar 200,000 Pemilih Baru Menjelang Oktober Ini

MELAKA: Parti Progresif Penduduk (PPP) menyasarkan untuk mendaftarkan sebanyak 200,000 pemilih baru menjelang Oktober tahun ini.

Bagi merealisasikan sasaran itu, Presiden PPP Datuk Seri Dr M. Kayveas berkata setiap cawangan parti itu di seluruh negara perlu mendaftarkan sekurang-kurangnya 501 pemilih baru.

"Sehingga kini, PPP mempunyai kira-kira 4,200 cawangan," katanya kepada pemberita selepas Konvensyen PPP Negeri Melaka yang dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Othman Muhamad di Dewan Japerun Bachang di sini, malam Ahad.

Beliau berkata dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, PPP mendaftarkan 70,000 pemilih baru, kebanyakannya terdiri daripada mereka berumur bawah 40 tahun.

Katanya pendaftaran pemilih itu turut membantu PPP menambah bilangan ahli parti, dengan kira-kira 80 peratus daripada pemilih baru yang didaftarkan berminat menjadi anggota parti itu.

Kayveas berkata permohonan untuk menyertai PPP amat menggalakkan dan kini parti itu mempunyai 577,000 anggota di seluruh negara.

Beliau berkata PPP memperoleh sokongan kuat terutamanya daripada generasi muda dan hasil sokongan itu, PPP merancang menubuhkan empat lagi cawangan parti itu di seluruh negara dalam masa terdekat.

Mengenai cadangan memberi laluan kepada parti komponen BN lain bertanding di kerusi yang tewas berulang kali pada pilihan raya umum, Kayveas berkata ia merupakan cara terbaik untuk memastikan kemenangan menjadi milik BN pada pilihan raya umum ke-13.

"Bila parti komponen BN bertanding pada satu kerusi tetapi tewas tiga empat kali, saya rasa kita patut beri peluang kepada parti komponen lain cuba bertanding, jika boleh beri laluan (bertanding) secara sukarela nampak semangat setiakawan antara kita (parti komponen BN)," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain