suria

Polis Nafi Pengurus Bank Ditahan Tiga Hari Kerana Tidak Memakai Tali Keledar

MELAKA: Polis menafikan dakwaan laporan sebuah portal berita dalam talian mengenai seorang pengurus bank berusia 26 tahun, dari Kuala Lumpur ditahan dalam lokap selama tiga hari kerana tidak memakai tali pinggang keledar.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Gee Lye berkata lelaki itu ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan terhadap satu laporan mengatakan dia menghalang seorang anggota polis trafik menjalankan tugas.

"Kejadian itu berlaku pada pukul 9 malam, 28 Mei lepas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang di sini, Isnin.

Chuah berkata pada kejadian itu, seorang anggota polis trafik yang sedang menjalankan rondaan di Jalan Laksamana Cheng Ho menahan sebuah MPV jenis Toyota Avanza dinaiki lima lelaki kerana melihat pemandunya tidak memakai tali pinggang keledar.

Katanya selepas menahan MPV itu, anggota polis tersebut meminta pemandu iaitu pengurus bank berkenaan menyerahkan kad pengenalan dan lesen memandu tetapi beliau enggan menyerahkanya malah mempertikaikan kuasa anggota polis itu.

Chuah berkata setelah diminta beberapa kali oleh anggota polis itu, lelaki itu akhirnya menyerahkan kad pengenalannya tetapi masih enggan menyerahkan lesen memandu.

"Anggota polis itu meminta lelaki itu menyerahkan kad pengenalan dan lesen memandunya untuk tujuan mengeluarkan saman atas kesalahan tidak memakai tali pinggang kaledar," katanya.

Beliau berkata apabila anggota polis itu pergi ke motosikalnya untuk mengeluarkan saman, lelaki itu mengekori anggota polis itu serta memarahinya dalam bahasa Cina dan apabila empat lagi rakan lelaki itu keluar daripada MPV menyebabkan anggota polis itu memohon bantuan daripada anggota polis lain.

Katanya pengurus bank bersama empat lagi rakanya itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sana dia menyerahkan lesen memandunya dan anggota polis mengeluarkan saman kepadanya atas kesalahan tidak memakai tali pinggang kaledar.

"Anggota polis itu turut buat laporan mengatakan beliau diganggu menjalankan tugas, siasatan laporan itu telah dijalankan di bawah Seksyen 186 kanun keseksaan sekiranya disabitkan boleh dijatuhkan hukuman penjara dua tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata kertas laporan siasatan itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya dan pada 31 Mei lepas, lelaki itu dibebaskan tanpa syarat sementara menunggu keputusan timbalan pendakwaraya sama ada perlu didakwa di mahkamah atau tidak.

Pada sidang media itu juga, Chuah turut menafikan dakwaan bahawa pengurus bank itu dinafikan hak untuk membuat panggilan telefon serta mendapatkan khidmat guaman kerana pihak polis tidak menghalangnya membuat panggilan daripada beliau ditahan di Jalan Laksamana Cheng Ho dan pegawai penyiasat kes telah membacakan haknya.

"Semasa ditahan di jalan itu, dia turut membuat beberapa panggilan dipercayai kepada beberapa ahli politik malah seorang ahli politik daripada sebuah parti pembangkang turut hadir ke IPD Melaka Tengah untuk mengetahui perkembangan kes tersebut," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain