suria

Jangan Terperangkap Putar Belit Pembangkang - Abdul Rahim

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri mengingatkan rakyat supaya tidak terperangkap dengan percaturan dan putar belit pihak tertentu yang cuba membangkitkan pelbagai isu terutama soal kemiskinan untuk meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13 kelak.

Beliau berkata agenda utama mereka adalah untuk menghakis keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah negara.

"Sebahagian daripada isu yang dibangkitkan adalah isu kitar semula yang telahpun cuba ditangani secara berperingkat oleh kerajaan.

"Penyelesaian kepada sesuatu kemelut dan masalah seperti kemiskinan dan jurang pendapatan yang cuba dimainkan memerlukan inisiatif berterusan dan mengambil masa kerana tidak ada kerajaan di dunia dapat melakukannya dalam sekelip mata seperti mitos lampu Alladin," katanya, Isnin.

Abdul Rahim berkata negara ini mempunyai pelbagai program, rancangan dan wawasan yang disusun rapi untuk mencapai matlamat mengurangkan kadar kemiskinan dan menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020.

Katanya ini menunjukkan kesungguhan kerajaan BN dalam membela nasib rakyat terutama golongan miskin di negara ini.

"Kejayaan yang ada adalah ditentukan oleh pelbagai faktor, dan di antaranya ialah inisiatif berdikari masyarakat dan apa yang terpenting ialah faktor kestabilan politik kerana negara berkecamuk akan menjadi negara yang akan pasti mengalami kegagalan," kata beliau.-BERNAMA

Artikel Lain