suria

Umno Bahagian Perlu Bersedia Walaupun Tidak Tahu Bila Pilihan Raya - Hishammuddin Hussein

PENDANG: Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu Umno bahagian berada dalam keadaan bersedia menghadapi pilihan raya umum, sekalipun tarikh sebenar tidak diketahui.

Katanya pemerhatian beliau mendapati anggota akar umbi "ketagihkan" arahan daripada kepimpinan parti, khususnya peringkat bahagian untuk bergerak dan mempersiapkan jentera.

"Tak sia-sia kalau kita lebih awal lagi menyediakan jentera kita, siap sedia untuk bergerak waktu pilihan raya. Bagi negeri-negeri kita kalah, (soal menjadi) calon tak seharusnya jadi pertimbangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Pendang, di sini Sabtu.

Hishammuddin juga mengingatkan pemimpin Umno peringkat bahagian khususnya, agar tidak mementingkan diri dan berbalah sesama sendiri semata-mata kerana mahu menjadi calon pilihan raya.

"Kalau kita menang sorang-sorang tak membawa apa-apa erti kepada parti dan perjuangan parti dan diri kita sendiri kerana kita berada dalam pasukan yang kalah," katanya.

Beliau juga mahu Umno bahagian menumpukan kepada usaha meningkatkan keanggotaan parti serta memastikan mereka yang layak berdaftar sebagai pemilih kerana Umno kini ketinggalan berbanding pembangkang.

"Walaupun lambat..baik lambat daripada tak buat langsung. Masih ada masa," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain