suria

Tuntutan Pengusaha Pukat Tunda C2 Tidak Akan Dilayan - Ismail Sabri

TANJONG KARANG: Kerajaan tidak akan melayan tuntutan kira-kira 1,000 pengusaha bot pukat tunda C2 di Pahang, Johor dan Perlis yang melancarkan mogok bagi meminta kerajaan menimbang pemberian subsidi super diesel kepada mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu.

"Kita bukan tarik (terus) subsidi, kerajaan masih beri subsidi kira-kira RM1 untuk satu liter dengan harga diesel biasa, jadi tidak ada sebab mereka ingin ugut kerajaan untuk boikot dan sebagainya.

"Kalau kita betul-betul tak nak beri subsidi, kita samakan mereka dengan harga industri, tetapi ini masih jauh lebih rendah daripada harga industri," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Tanjong Karang, Ahad.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, yang juga Ketua Umno bahagian itu.

Semalam, pengusaha bot pukat tunda berkenaan mengancam untuk mogok selama tiga hari dan akan meneruskannya jika kerajaan tidak mengambil tindakan segera berhubung perkara itu.

Kerajaan sebelum ini memutuskan pengusaha bot pukat tunda berkenaan perlu membeli diesel pada kadar RM1.80 seliter, dan bukan pada harga subsidi super RM1.25 seliter yang layak mereka nikmati sebelum ini.

Ismail Sabri berkata langkah itu diambil kerana golongan terbabit merupakan pengusaha bot laut dalam yang berpendapatan lumayan berbanding nelayan Zon A,B dan C.

"Kalau mereka nak bincang, kita tidak ada masalah, tetapi kalau ugut dan beri tempoh tiga hari, saya kata teruskanlah, dan kita tidak berminat untuk berbincang dengan orang seperti ini," katanya tidak menolak kemungkinan terdapat campur tangan pihak tertentu yang mempunyai agenda politik dalam memainkan isu berkenaan.

Sementara itu, Noh berkata jika pengusaha bot pukat tunda berkenaan terus mogok, kementerian akan mengarahkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia mengimport ikan dari negara jiran.

Beliau berkata pihaknya juga sedia menambah lesen mengimport ikan bagi menampung kira-kira 110 metrik tan sebulan, jika berlaku kekurangan sumber makanan itu akibat mogok tersebut.

Selain itu, Noh berkata jika didapati nelayan Zon A, B dan C yang menyertai mogok itu, pihaknya tidak akan teragak-agak menarik balik lesen mereka. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain