suria

Suatu malam di sebuah restoran

DI sebuah restoran di Uptown Damansara Utama, Petaling Jaya, orang ramai memenuhi setiap ruang kosong yang ada seolah-olah malam itu malam terakhir mereka menikmati makan malam. Di setiap meja - keluarga, kawan-kawan, pasangan teman tapi mesra, rakan niaga, malah individu sedang makan besar. Makan besar dalam erti kata bahawa cakap-cakap yang kononnya harga minyak dan harga barang telah naik, kegawatan ekonomi dan sebagainya tidak mendatangkan sebarang impak kepada kehidupan mereka semua. Malah mereka sedang membalun (menikmati) hidangan seperti kenaikan harga tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada saku mereka.

Jika pemandangan di restoran itu hendak diambil kira sebagai cerminan sebenar situasi ekonomi kita sekarang ternyata ia tidak benar sama sekali. Tidak ada satu meja pun yang memesan nasi goreng biasa atau nasi kosong bersama telur dadar. Boleh dikatakan semua orang sedang makan besar. Ada yang memesan ikan siakap masak tiga rasa, ikan bawal masak sos, ikan siakap masak masam manis dan halia, daging merah dan tomyam campur. Juga kelihatan satu kumpulan manusia yang seperti sedang meraikan sesuatu (mungkin kejayaan memperolehi kontrak besar) sedang memesan empat ekor ikan siakap masak pelbagai rasa. Sungguh dahsyat pemandangan malam itu. Ia mengesahkan laporan muka depan akhbar The Star Jumaat lalu bahawa masyarakat Malaysia terlebih makan dalam kehidupan seharian mereka. Mereka tidak hiraukan nasihat para pakar bahawa Malaysia mungkin akan berhadapan dengan krisis makanan.

Tetapi hakikatnya apakah mereka peduli? Seingat penulis, negara ini tidak pernah berhadapan dengan krisis makanan. Jadi rakyat Malaysia termasuklah generasi penulis tidak memahami apa itu krisis makanan. Sama ada di dalam krisis atau kegawatan yang kitarannya datang setiap sepuluh tahun sekali, kita tetap ada makanan di atas meja. Pendek kata, rakyat Malaysia tidak pernah berhadapan dengan kebuluran seperti mana di Ethopia atau mana-mana negara Afrika. Mereka makan selagi boleh makan. Ini amat jelas pada pemandangan malam di mana penulis berada di sebuah restoran di Uptown Damansara.

Di satu meja lain

Di satu meja lain pula, satu keluarga yang terdiri daripada pasangan suami isteri dan anak perempuan yang mungkin berusia enam tahun sedang menunggu pesanan tiba. Mereka kelihatan lapar dan mungkin itu mendorong si ibu untuk mengeluarkan sebatang rokok lalu menghulurkan kepada suaminya dan kemudian kepada dirinya sendiri. Dia menyalakan api pada rokok dan menyedutnya sedalam dalamnya bagaikan sedang menagih narkotin pada tahap yang sangat maksimum. Tiba-tiba anak kecilnya itu bertanya, “Mama...adik nak milo ais.” Naluri seorang ibu telah mendorongnya untuk menoleh ke arah anak kecilnya itu lalu berkata; “Tunggu sayang...mama baru saja order. Kejap lagi sampai.”

Ketika dia berkata demikian, asap rokok dari mulutnya keluar berkepul-kepul ke arah muka si anak kecilnya itu dan anaknya terbatuk-batuk sambil menutup mulut dan mukanya. Penulis tahu dia bukannya sengaja hendak berbuat demikian tetapi pada masa yang sama dia tidak menggunakan akal fikiran menghisap rokok ketika anak ada bersama-samanya. Penulis terasa seperti hendak bangun dari kerusi dan terus menuju ke arah pasangan suami isteri tadi untuk menegur kenapa tergamak menghisap rokok di hadapan anak kecil yang tidak tahu apa-apa itu. Tetapi niat penulis terhenti apabila penulis tersedar bahawa ia bukan urusan penulis untuk masuk campur hal peribadi orang.

Tidak lama kemudian, ada seorang makcik yang mengendong begitu banyak bungkusan beg plastik besar berwarna oren bergerak dari satu meja ke satu meja di restoran itu dengan harapan orang ramai tergerak hati untuk membeli pelbagai jenis kerepek dan jajan yang dibawanya. Nampaknya makcik ini mempunyai strategi pemasaran dan jualan. Atau mungkin sahaja dia sudah ada pengalaman yang lama berniaga dari meja ke meja. Dia hanya memilih untuk menuju ke meja yang mempunyai keluarga dan anak-anak. Belum sempat si ibu atau bapa membuka mulut, anak kecil yang ada bersama keluarga awal-awal lagi mendesak ibunya nak itu dan ini. Maka di meja itu si makcik dapatlah menjual tiga bungkus kerepek dan jajan yang lain. Dengan wajah yang tersenyum dia mengucapkan terima kasih. Dan suasana di meja itu kelihatan meriah dengan jajan yang baru dibeli - seolah-olah mereka masih terasa lapar walaupun baru sahaja selesai membalun siakap masak tiga rasa, tomyam campur, telur dadar dan daging merah sekaligus. Memang dahsyat pemandangan pada malam itu.

Adegan

Namun adegan demi adegan yang penulis saksikan seperti tidak mahu tamat di restoran serba maju dan penuh dengan hiruk-pikuk manusia yang sedang lapar ini. Tidak lama kemudian, muncul pula seorang lelaki dalam lingkungan usia pertengahan dua puluhan atau mungkin sahaja di awal dua puluhan. Dia, sepertimana makcik tadi turut mengendong sebuah beg besar. Di kedua-dua belah tangannya ada barang mainan - tangan kiri memegang helikopter dan tangan kanan kapalterbang penumpang iras-iras model Boeing 747. Dia juga mempunyai strategi pemasaran dan jualan. Dia hanya menuju ke meja yang ada keluarga dan anak kecil. Di situ sahaja dia berjaya menjual helikopter mainan dan kapal terbang Boeing 747 tadi selepas berjaya menyakinkan sibapa melalui demonstrasi yang baru sahaja ditunjukkan di atas meja makan. Dia juga beredar dengan wajah yang tersenyum.

“Encik ada apa lagi hendak order?” tanya seorang pelayan yang tiba-tiba datang ‘mengganggu’ pemerhatian penulis. Dia cuba memberi isyarat bahawa jika sudah selesai ‘urusan’ silalah kosongkan meja kerana ramai pelanggan baru sedang berdiri menanti giliran untuk duduk. Tetapi sebaik sahaja penulis hendak bangun pergi, datang seorang remaja juga dengan beg galas yang besar sedang menuju dari meja ke meja hendak menjual DVD. Dia singgah dari sebuah meja ke sebuah meja tanpa strategi yang khusus. Penulis tidak jadi bangun kerana terdorong hendak melihat bagaimana kesudahan ‘perniagaannya’ malam itu. Malangnya tidak sepertimana makcik yang menjual jajan dan lelaki muda yang menjual barang mainan, remaja ini tidak begitu berhasil dalam menjual produk yang dibawanya. Bukan tidak ada orang yang membeli langsung tetapi tidak begitu rancak sepertimana penjual barangan lain yang baru datang tadi. Tidak ada orang yang berminat untuk membeli DVDnya itu.

Kemudian di satu meja yang dia dekati, pelanggan di meja itu bertanya sama ada dia ada DVD klip video aksi terlarang 22 minit seorang yang iras seperti pemimpin pembangkang. Remaja itu berkata tidak ada. Dan selepas itu dia tidak berminat membeli DVD yang lain. Penulis pun berpura-pura tanya mengapa DVD yang dibawa remaja tadi tidak begitu mendapat sambutan. Lelaki tadi menjawab “Sekarang orang tak beli DVD lagi bang... sekarang kita orang download dari Internet saja bang.”

Oh begitu rupanya, bisik penulis di dalam hati. Tetapi dengan keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menghalang capaian kepada beberapa laman sesawang yang didapati melanggar Akta Hakcipta 1987, yang mana selama ini sebahagian besar rakyat Malaysia memuat turun filem-filem baru dari Internet, ada kemungkinan perniagaan remaja tadi akan kembali berkembang sepertimana masa-masa dahulu. Di Malaysia ini, segala-galanya boleh!

Artikel Berikut

Artikel Lain