suria

Shahz Jazle juga bertanggungjawab

Shahz Jazle
Shahz Jazle
Shahz Jazle

SEPANJANG minggu ini heboh orang bercerita tentang klip video aksi berahi nyanyian Prema Yin – Marilah. Klip video itu dilakonkan oleh Prema dan Shahz Jazle. Ia diarahkan oleh pelakon kacak, Gambit.

Saya sudah tengok klip video tersebut. Pada saya, aksi itu tak cukup berahi untuk dipasarkan ke Amerika Syarikat (AS). Ehhh... tak tahu malu betul mamat ni. Ada hati nak jual di AS. Maaf dik, orang Amerika tak pandang la kalau setakat klip video macam tu. Bukan nak perlekeh... Sebabnya kalau klip video artis-artis Barat, hasilnya kenalah lebih tak senonoh.

Saya bukannya apa, takut nanti kalau klip video aksi separuh berahi di celah dapur tu diberi kepada orang Amerika, mesti ia kena campak ke dalam kandang kuda. Saya takut nanti yang malu Gambit kerana karya dia tak laku.

Walau bagaimanapun saya bangga dengan sifat Gambit yang mempunyai harapan setinggi gunung. Sifat yang macam itu perlu ada kepada semua rakyat Malaysia. Saya tabik bab itu. Tapi sayangnya Gambit telah buat perkiraan salah apabila mahu jual maruah orang Malaysia dengan cara yang tidak beradab.

Sepanjang minggu ini Gambit sudah kena bantai. Tapi akhirnya dia memohon maaf. Sebagai rakyat Malaysia, saya harap kita semua maafkan Gambit kerana dia budak baru belajar. Kalau salah tolong tunjukkan, bak kata pepatah Melayu.

Tapi yang otak saya tak boleh terima apabila pelakon klip video itu Shahz Jazle dalam portal murai.com mengatakan dia terkejut selepas melihat hasil klip video berkenaan selepas ia disunting.

Dengan erti kata lain, semasa dia berlakon dia ingat tak jadi adegan yang seteruk itu. Kenyataan Shahz itu seolah-olah macam tak mahu mengaku salah.

Saya geleng kepala dengan kenyataan cetek macam itu. Sebagai pelakon, dia harus faham dengan aksi yang dia lakukan. Takkan dia tak tahu hasilnya selepas Prema Yin melompat atas paha dia? Takkan dia tak boleh agak kesannya terhadap penonton selepas hidungnya hampir-hampir menyentuh hidung Prema Yin?

Sepatutnya Shahz Jazle harus juga bertanggungjawab dengan apa yang dia buat. Begitu juga Prema Yin. Jangan salahkan Gambit seorang sahaja. Sebagai pengarah, dia melakukan arahan berdasarkan kepada “story board” yang dihasilkan.

Sebagai pelakon pula Prema Yin dan Shahz Jazle tentu sekali sudah faham mengenai hasil klip video itu. Jadi, Shahz Jazle jangan buat-buat terkejut pula!

NIEZAM: Tonton klip video “Dag Dig Duk”.

Jangan asyik salahkan orang filem

Industri perfileman negara pada hari ini menunjukkan satu peningkatan yang begitu konsisten apabila filem-filem yang dihasilkan berebut-rebut untuk mendapat tarikh tayangan di pawagam melalui Syarat Wajib Tayang.

Bayangkan sepuluh tahun lepas, jumlah filem yang bertanding pada Festival Filem Malaysia (FFM) tidak sampai 20 buah filem. Tapi pada tahun lalu sebanyak 29 buah filem menyertai FFM.

Tapi sayang, ketika industri filem kita sedang mencanak naik, banyak sangat campur tangan dan anasir luar yang merencatkan kreativiti penggiat filem. Mereka sukar untuk berkarya.

Berdasarkan kepada perangkaan dari Januari 2010 sehingga Mei lalu, dianggarkan kira-kira 2.9 juta orang membeli tiket menyaksikan filem cereka tempatan di seluruh negara.

Dari segi puratanya hampir 600,000 orang pergi ke panggung dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Peningkatan itu menyuntik semangat penggiat-penggiat seni kita untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu dengan pelbagai genre yang cuba dipaparkan.

Saya agak tidak puas hati apabila setiap kali filem kita muncul di pawagam, banyak sangat “gangguan” luar yang cuba membantutkan perkembangan industri filem kita.

Sebelum ini ketika filem Remp-It ditayangkan, macam-macam bantahan kononnya filem itu menyebabkan budaya mat rempit semikin bertambah. Hakikatnya, sehingga hari ini isu mat rempit masih tidak dapat dibendung. Dan terbaru apabila filem Kongsi dan KL Gangster pula dikatakan mendedahkan keburukan bangsa Melayu dengan aktiviti gengsterisme.

Filem-filem Hong Kong sebelum ini turut memaparkan kisah-kisah aksi yang sedemikian rupa tetapi tidak pula orang melabelkan negara itu sebagai pusat aktiviti gengster. Begitu juga filem-filem aksi Hollywood yang ditonjolkan tetap diterima sebagai sebuah filem untuk hiburan.

Filem-filem Bollywood kerap kali memaparkan kisah polis tidak amanah serta makan rasuah tetapi orang menerimanya sebagai satu hiburan.

Orang yang pergi ke panggung adalah orang yang cintakan seni, melihat satu karya itu di luar kepompong yang ditampilkan. Mereka menerima sesuatu hiburan itu untuk mencari pengajaran.

Kita percaya dengan keupayaan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) untuk menapis sesebuah karya sebelum ia dibenarkan untuk ditayangkan kepada umum.

Apabila ada pihak yang mempersoalkan sesebuah karya itu dengan asas yang tidak begitu kukuh, saya juga ingin bertanya kepada pihak berkenaan, sudah banyakkah peranan yang kita mainkan untuk kepentingan rakyat negara kita selama ini?

Hari ini walaupun filem mengenai seks tanpa nikah ataupun isu pembuangan bayi serta penderaan anak tidak dihasilkan, aktiviti tidak bermoral itu semakin banyak berlaku.

Saban hari ada saja bayi yang meninggal dunia dan didera. Adakah ia salah orang yang buat filem ataupun salah siapa? Fikir-fikirkanlah?

NIEZAM: Susah juga jadi orang media.

Artikel Berikut

Artikel Lain