suria

Program Pemutihan Akan Atasi Sebahagian Isu Pendatang Tanpa Izin Sabah - Hishammuddin Hussein

SANDAKAN: Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan kerajaan Sabah bagi membangunkan sistem berteknologi tinggi untuk melaksanakan operasi pemutihan besar-besaran pendatang tanpa izin di Sabah.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata apabila diwujudkan kelak, sistem itu diyakini dapat menyelesaikan sebahagian besar isu pendatang tanpa izin di negeri tersebut.

"Dunia tanpa sempadan membawa cabaran tersendiri. Kalau kita tidak berusaha sungguh-sungguh menggunakan sistem dan teknologi sedia ada saya bimbang masa depan kita boleh berada dalam keadaan tidak tentu dari segi keselamatannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Libaran, di sini Ahad.

Beliau memberi contoh pelaksanaan sistem biometrik yang memastikan setiap warga asing memasuki negara ini direkod menerusi imbasan cap jari.

"Kita belajar dari pengalaman dahulu dan mungkin kali ini bila kita lakukan operasi pemutihan besar-besar tanpa menjejaskan keperluan sektor ekonomi yang diperlukan oleh Sabah," katanya.

Mengenai penahanan seorang anggota militan Agus Salim, 34, di Johor Baharu pada Isnin lepas, Hishammuddin berkata siasatan polis mendapati Agus masuk ke negara ini menggunakan pasport sah, namun dengan nama lain.

Katanya Agus memasuki Malaysia menerusi Bukit Kayu Hitam, Kedah dari Bangkok, Thailand.

"Kalau kita tidak wujudkan sistem ini (biometrik) penggunaan dokumen palsu dengan menggunakan nama lain seperti kes Agus ini akan berulang," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain