suria

Pemandu Lori Maut Dihempap Pokok Di Beruas

IPOH: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaannya dihempap sebatang pokok yang tumbang dalam satu kejadian di Kampung Ulu Licin, Beruas, kira-kira 70 kilometer dari sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner (ACP) Mohd Jamil Osman berkata kejadian berlaku pada 10.53 pagi ketika Shah Faizal Ahmed, 33, berada dalam lori sementara menunggu sebuah traktor memasukkan tanah ke dalam kenderaannya yang diletakkan di lereng bukit.

Beliau berkata sebatang pokok tiba-tiba tumbang dan menghempap bahagian depan lori menyebabkan mangsa cedera parah di kepala.

Mangsa berjaya dikeluarkan daripada lori berkenaan dua jam kemudian oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta orang awam, katanya ketika dihubungi Ahad.

Mohd Jamil berkata mangsa dibawa ke sebuah kelinik di Beruas, namun meninggal dunia dalam perjalanan, dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain