suria

Pelatih Tertekan Program Ketat Antara Sebab Rusuhan Di Puspen Muar - AADK

PUTRAJAYA: Pelaksanaan program yang terlalu ketat di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Muar, Johor dikenal pasti antara sebab berlakunya rusuhan Jumaat lepas.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsan Datuk Zuraidah Mohamed berkata kesimpulan itu berdasarkan laporan awal yang dikemukakan kepada beliau.

"Bagaimanapun punca sebenar hanya akan diketahui apabila laporan penuh mengenainya siap dijangka minggu depan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, dua bangunan menempatkan pusat pentadbiran dan rumah pelawat musnah dalam kebakaran yang dicetuskan pelatih di pusat yang terletak di Sengkang, Bukit Gambir, Muar tersebut selain merosakkan sembilan buah kereta dan sebuah motosikal.

Seramai 21 pelatih berjaya melarikan diri namun 16 berjaya ditahan semula oleh pihak polis.

Zuraidah berkata berikutan kes tersebut, pemantauan rapi dilakukan ke atas semua Puspen bagi mengelakkan kejadian serupa berlaku dan setakat ini tiada sebarang masalah dilaporkan.

Mengulas mengenai saranan Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye agar modul Puspen dirombak, Zuraidah berkata pihaknya sedang melaksanakan perkara itu termasuk elalui penubuhan Triage Puspen, Puspen Tegar dan 1Puspen.

Berbeza dengan amalan dahulu yang mengguna pakai satu sistem untuk semua Puspen, pelatih akan disaring mengikut tahap ketegaran di Triage Puspen sebelum dimasukkan ke Puspen yang bersesuaian, katanya. Zuraidah berkata bagi penagih tegar yang mempunyai rekod jenayah, mereka akan ditempatkan di Puspen Tegar manakala penagih baru atau tidak terlalu bermasalah, akan dimasukkan ke 1Puspen.

"Contohnya, kalau seorang penagih tu dah selalu keluar masuk Puspen, pendekatan kaunseling saja tak cukup, jadi kita perlu memikirkan pendekatan-pendekatan lain termasuk pendekatan keagamaan," katanya. Katanya buat masa ini hanya satu Triage Puspen dan 1Puspen ditubuhkan iaitu masing-masing di Perak dan Kedah.

Sebanyak dua lagi Triage Puspen, dua Puspen Tegar dan satu 1Puspen disasar ditubuhkan tahun ini, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain