suria

Padah Seludup Haiwan Liar

PETALING JAYA: Dengan hanya menerima bayaran sama seperti sebotol minyak wangi, Sarah, 21, seorang wanita rakyat Madagascar hilang kebebasan.

Sarah, atau nama sebenarnya Emillene Justine Sarah Sahondrarisoa, mengandung dua bulan ketika ditahan atas kesalahan menyeludup haiwan liar ke Malaysia pada Julai tahun lalu.

"Saya dibayar US$300 (lebih kurang RM900) untuk membawa bagasi yang dipenuhi dengan haiwan liar.

"Saya beli minyak wangi dengan wang yang diperolehi itu di lapangan terbang Antananarivo sebelum menaiki kapal terbang," katanya.

Sarah menghabiskan masa selama setahun di penjara Kajang, di mana dia turut melahirkan anak lelaki.

Apa yang dia inginkan sekarang ialah melupakan peristiwa hitam itu dan pulang ke samping keluarganya di Mahajangga.

Dalam satu temuramah di Depoh Imigresen Lenggeng, Sarah cuba mengingati kenangan hitamnya itu.

Sarah berkata, dia dijanjikan barayan tambahan sebanyak RM900 apabila meneruskan perjalanannya ke Pulau Pinang dengan bagasi berkenaan.

Bagaimanapun dia tidak sempat melaksanakan tugasnya itu apabila ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sarah ditemani seorang lagi wanita ketika berada dalam kapal terbang.

Mereka cuba menyeludup beberapa jenis haiwan liar bernilai RM250,000.

"Ia pengalaman yang sangat menggerunkan.

"Saya dimaklumkan bahawa tiada apa yang berlaku sekiranya ditahan kerana ia hanya kesalahan biasa," katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Sarah berkata, dia turut diberitahu bahawa pegawai keselamatan sudahpun 'dibayar' untuk membebaskannya jika ditahan," katanya.

Sarah dan seorang lagi wanita yang dikenali sebagai Murial didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada Julai tahun lalu.

Artikel Berikut

Artikel Lain