suria

MAMPU Sasar 90 Peratus Khidmat Secara Online Menjelang 2015

MARANG: Menjelang tahun 2015, dijangka 90 peratus perkhidmatan urusan pentadbiran agensi-agensi kerajaan dijalankan secara online dan 10 peratus sahaja secara bersemuka di kaunter.

Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Datuk Mohamad Zabidi Zainal berkata perkhidmatan secara online ini termasuklah penggilan mesyuarat dan lain-lain.

"Sekarang ini kita tulis surat pun banyak, bila panggil mesyuarat kita perlu tulis surat panjang-panjang, kemudian kalau kita buat minit mesyuarat pun kita hantar secara panjang-panjang.

"Kalau boleh kita panggil mesyuarat secara online dan minit mesyuarat pun dihantar secara online," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Exit Conference," iaitu insentif transformasi anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Marang, di sini, Ahad.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (ICT) Mampu Datuk Dr Nor Aliah Mohd Zahri.

Beliau berkata beberapa buah negeri, khususnya dalam jabatan dan agensi pusat telah menggunakan kaedah itu.

Zabidi berkata MAMPU akan melaksanakannya mengikut keupayaan dan bergantung kepada kewangan kerajaan.

Beliau berkata Mampu telah melaksanakan 'E-Counter Services' and 'Paperless Goverment Baseline Study' pada awal 2011.

Hasil kajian menunjukkan bahawa daripada 6,233 perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan, hanya 21 peratus adalah secara online dan tahap penggunaan sebanyak 40 peratus.

Melihat kepada perkembangan itu, beliau meminta semua agensi kerajaan di seluruh negara untuk bergerak secara proaktif dan agresif dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan secara online untuk kemudahan dan keselesaan orang ramai. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain