suria

Lima Ditahan Bersabit Kes Miliki Senjata Tajam, Gaduh Dan Dadah

KUALA LUMPUR: Polis menahan lima lelaki bersabit kes memiliki senjata tajam, dadah dan gaduh di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini malam Sabtu, yang merupakan venue perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Terengganu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner (ACP) Mohan Singh Tara Singh berkata kelima-lima suspek yang berumur lingkungan 21 dan 35 tahun itu ditahan di pintu masuk stadium dan di luar perkarangan stadium.

"Tiga daripada mereka ditahan dalam pemeriksaan rambang oleh anggota kita di pintu masuk stadium. Pemeriksaan ke atas beg yang di bawa mereka, polis telah merampas senjata tajam seperti pisau, gunting dan spanar manakala seorang daripada tiga suspek itu turut memiliki satu botol air yang diisi dengan air daun ketum," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini Ahad.

Beliau berkata dua lelaki lagi ditahan di luar perkarangan stadium kerana menimbulkan kekecohan ekoran bergaduh.

"Kedua-dua suspek...masing-masing adalah penyokong pasukan bola yang bertanding. Berlaku sedikit perselisihan faham antara mereka dan menyebabkan mereka bergaduh sesama sendiri. Dalam pergaduhan itu polis turut merampas senjata iaitu buku lima yang digunakan seorang daripada mereka," katanya.

Katanya, kelima-lima lelaki itu kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Mengulas mengenai sikap penyokong di stadium malam tadi, Mohan berkata keadaan terkawal walaupun puluhan ribu penyokong membanjiri perkarangan Stadium Nasional bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Terangganu dan Kelantan.

"Penyokong-penyokong kedua-dua pasukan kali ini menunjukkan sikap kematangan masing-masing. Walaupun masih ada insiden membaling botol di kawasan padang dan trek, namun keadaan masih lagi terkawal dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.

Dalam keputusan perlawanan akhir malam tadi, Terengganu menjulang Piala FA selepas menewaskan Kelantan 2-1 di Stadium Nasional di sini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain