suria

Lelaki Indonesia Ditahan Bantu Siasatan Kematian Rakan Senegara

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kejam seorang pekerja lelaki yang juga merupakan warga Indonesia, yang ditemui mati di rumah kongsi di tapak pembinaan di Taman Melati Utama, di sini, pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner (ACP) Zakaria Pagan ketika dihubungi berkata lelaki berusia 30-an itu ditahan ketika berada di rumah kongsi di tapak pembinaan berkenaan.

"Dia ditahan pada petang hari kejadian dan polis menahannya bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kejam itu dan kita akan ambil keterangannya dan siasat dari semua aspek bagi mencari suspek serta individu lain yang mempunyai kaitan dengan kes ini.

"Kita percaya dengan penahanan lelaki berkenaan, maklumat berhubung kejadian sebenar akan diperoleh sekali gus membantu mengenalpasti kesemua suspek yang terlibat," katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berumur 30 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh seorang pekerja di tapak pembinaan berkenaan kira-kira 7.30 pagi.

Hasil pemeriksaan, polis menemui lapan kesan luka tikaman selain beberapa kesan kelar pada badan mangsa. Polis tidak menolak kes itu melibatkan seorang wanita dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain