suria

KITA Lancar Manifesto 30 Jun Ini - Zaid Ibrahim

MELAKA: Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) akan melancarkan manifestonya pada 30 Jun ini yang menggariskan tentang perjuangan parti itu sebagai parti pembangkang yang bertanggungjawab dan ikhlas.

Ketua Parti KITA Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata manifesto itu merupakan intipati dan dasar-dasar penting parti serta memperkenalkan isu-isu semasa tertentu.

"Pada ketika ini, keadaan politik di negara kita seolah-olah berada dalam 'state of war' (sentiasa berperang) antara pihak pembangkang dan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baru parti itu di Taman Gadong Perdana, di sini Ahad.

Beliau berkata budaya 'benci-membenci' itu bukan suatu petanda baik kerana keadaan politik di negara ini sepatutnya kondusif dan sesuai untuk membincangkan isu-isu rakyat.

"Parti politik yang suka berperang ini tidak sesuai, ini merujuk kepada semua pihak," katanya sambil menegaskan parti KITA juga tidak berperanan untuk mengampu kerajaan sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Mengenai persediaan parti itu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, Mohd Zaid berkata parti KITA akan meletakkan calon yang sesuai berdasarkan kedudukan, sokongan serta kewibawaan calon.

"Kita tak akan meletakkan calon semata-mata untuk bertanding. Kita bertanding atas kemampuan diri kita sendiri dan bukan sebagaimana diputuskan oleh pakatan pembangkang," katanya.

Beliau berkata sebarang permuafakatan dengan pihak pembangkang bagi menghadapi pilihan raya harus bersandarkan prinsip dan dasar perjuangan parti KITA.

Katanya parti KITA, yang kini mempunyai 3,000 anggota di seluruh negara, akan bertanding di satu atau dua kawasan pilihan raya di Melaka tetapi belum memutuskan sama ada bagi kawasan Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.

Mengenai langkah PAS untuk memperjuangkan 'negara berkebajikan', Mohd Zaid berkata penjenamaan baru itu merupakan strategi PAS untuk tidak dilihat semata-mata sebagai parti Islam dan Melayu sahaja.

"PAS melihat mereka boleh menjadi pengganti sebagai pemimpin pembangkang pada masa depan untuk meraih sokongan yang lebih meluas," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain