Jentera Umno Dan BN Perlu Kerja Keras Tingkat Persepsi Serta Aspirasi Rakyat - Najib - Semasa | mStar

Jentera Umno Dan BN Perlu Kerja Keras Tingkat Persepsi Serta Aspirasi Rakyat - Najib

KUALA LUMPUR: Jentera Umno perlu bekerja keras dan merangka strategi baru untuk meningkatkan lagi persepsi serta aspirasi rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sejajar dengan perkembangan teknologi komunikasi masa kini seperti khidmat pesanan ringkas (SMS), laman sosial Twitter dan Facebook, perkara yang lebih penting dalam politik adalah persepsi dan bukannya realiti.

"Politik adalah mengenai persepsi. Bukan soal realiti... pembangkang pandai main persepsi yang sudah benar pun nak nafi. Nak minta DNA pun tidak bagi, soal jam tangan Omega tidak terjawab sampai sekarang.

"Sebab itu Umno dan BN mesti tahu bagaimana kita boleh mempengaruhi minda dan citarasa rakyat supaya mereka lihat Umno dan BN parti yang berkesan, terbaik dan boleh bela rakyat berbanding orang lain yang pandai berjanji tetapi tidak laksanakan," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Ampang di sini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Umno bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo.

Najib berkata justeru, Umno dan BN perlu membuat sesuatu yang lebih berkesan bagi menunjukkan ia lebih memahami aspirasi rakyat supaya realiti, persepsi serta sentimen rakyat lebih berpihak kepadanya.

"Kerajaan telah buat Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), kita ada pelan yang lebih terperinci, road map yang lebih jelas bukan macam pembangkang yang pandai berjanji. Mereka main dan jual janji tetapi kita tidak boleh sebab kita parti yang memerintah.

"Kita mesti lebih daripada mereka, biarlah persepsi rakyat lebih baik dan meningkat daripada pihak-pihak lain. Kalau rakyat suka BN rakyat akan pilih, kalau benci mereka akan pilih orang lain untuk mewakili kawasan mereka," katanya.

Najib, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, berkata Umno juga mesti sentiasa berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, yang boleh diadakan pada bila-bila masa sama ada tahun ini, tahun depan mahupun 2013.

"Kita mesti bersedia bukan setakat dry run (pilihan raya) sahaja tetapi kena bersedia terhadap persepsi rakyat dan sentimen yang lebih baik, itu yang mesti diutamakan," katanya.

Beliau berkata jentera parti juga perlu memberi tumpuan terhadap penyokong parti dan mereka yang belum menjadi penyokong kerana Umno dan BN adalah parti yang membela semua kaum.

Dalam pada itu, Najib sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa beliau akan memilih calon yang disukai rakyat dan boleh menjamin kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Ada juga saya dengar orang main 'cop' kawasan, (apa yang penting) kita mesti tengok performance dia, sama ada dia bekerja kuat untuk kepentingan parti, sama ada dia disukai rakyat atau tidak, ada pembawaan dan nilai moral seorang pemimpin yang boleh kita calonkan," katanya.

Pada sidang berita kemudian, Najib berkata projek pertama Skim Rumah Pertamaku dijangka dilaksanakan bulan depan di mana kebanyakan rumah yang dibina berharga dalam lingkungan RM220,000.

"Ini sebagai projek permulaan dan saya sedang merumuskan satu pendekatan baru supaya bilangan rumah-rumah yang mampu dimiliki dan berkualiti dapat kita bina dengan bilangan yang besar," katanya.

Mengenai dakwaan bahawa kerajaan membela Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) menyebabkan rakyat yang perlu menanggung kenaikan tarif elektrik, Najib berkata dakwaan itu tidak tepat kerana kerajaan lebih membela rakyat daripada IPP.

"Dalam keadaan sekarang, kita tahu bahawa IPP yang kita ada sekarang kebanyakan formulanya tidak lagi berat sebelah. Kita sedang runding dengan IPP dan kerajaan akan menghuraikan dengan lebih lanjut apabila sampai masanya," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

Artikel Lain

Nasharudin Mat Isa akan didakwa Selasa