suria

Wakil PKR Diminta Kutip Dana Untuk PRU

PETALING JAYA: Wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor diminta mendapatkan derma sekurang-kurangnya RM2 juta daripada orang ramai sebelum menjelangnya pilihan raya umum akan datang.

PKR negeri mengarahkan ahli DUN eksekutif untuk mengutip RM50,000 seorang manakala Ahli Parlimen perlu mengutip sekurang-kurangnya RM22,000 seorang.

Anggota DUN perlu mengumpulkan RM30,000 seorang dan ahli Majlis Perbandaran disyaratkan mendapatkan RM20,000 seorang.

Bendahari parti peringkat negeri telah mengemukakan lebih 1,500 "sijil-sijil penghargaan" kepada Menteri Besar, lapan Ahli Parlimen, empat DUN eksekutif, lapan DUN dan kira-kira 80 ahli Majlis Perbandaran.

Tandatangan Presiden parti, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali dan bendahari, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew tertera pada sijil-sijil penghargaan atas sumbangan derma sebanyak RM500, RM1,000, RM2,000 dan RM3,000.

Dr Tan memberitahu, ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengumpulkan derma untuk menghadapi pilihan raya umum.

"Kami memperkenalkan sistem pensijilan ini supaya penderma diberi jaminan bahawa sumbangan mereka disalurkan kepada parti dan bukannya poket sembarang individu."

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa penderma berkemungkinan menuntut pembalasan setimpal pada masa depan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya kelak kerana mereka boleh menggunakan sijil tersebut sebagai bukti derma.

"Saya percaya ini adalah cubaan untuk mensabotaj sistem kutipan derma yang sama seperti sistem diamalkan parti-parti politik di Amerika Syarikat.

"Badan-badan korporat enggan menderma kepada kami. Oleh itu, kami perlu bergantung kepada sumbangan orang ramai dan syarikat-syarikat kecil," katanya.

Dr Tan juga menegaskan, usaha kutipan derma dijalankan atas dasar sukarela.

Beliau diminta mengulas mengenai segelintir wakil yang tidak berpuas hati dengan arahan parti tersebut sekali gus menyifatkan mereka dipaksa untuk mengutip derma daripada orang ramai.

Seorang wakil mendakwa sesetengah ahli Majlis Perbandaran memaksa kontraktor-kontraktor untuk memberikan sumbangan derma sekiranya ingin membida sesuatu projek.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain